TITIK pertemuan kami pada 25 Julai lalu menghadirkan jawapan kepada persoalan tentang keberadaan aktor hebat, Nasrul Suhaimin Saifuddin atau Bront Palarae yang dilihat agak ‘menyepi’ beberapa tahun kebelakangan ini.
Persetujuan anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini untuk menjayakan sesi fotografi dan wawancara bersama Pancaindera umpama bulan jatuh ke riba.
Prosesnya juga berjalan mudah kerana Bront serius dan profesional dalam urusan berkaitan kerjaya seninya. Dalam perbualan, kami saling berbagi pandangan.
Antara soalan awal yang dilayangkan adalah tentang perasaannya setelah menjadi antara sebilangan kecil pelakon Malaysia yang mendapat tempat cukup selesa di persada filem Indonesia.
Adakah dia berpandangan industri seni di Indonesia lebih meraikan Bront Palarae berbanding di tanah kelahiran sendiri?
“Tidak timbul soal dianaktirikan. Mungkin projek filem yang saya buat di Malaysia, impaknya tidak sebesar filem luar yang saya lakonkan.
“Kebetulan, filem Pengabdi Setan arahan Joko Anwar mencetuskan impak yang terlalu besar, meluas sampai ke Malaysia. Macam itulah gambarannya.
“Apa yang boleh saya katakan, kerjasama dan hubungan, sama ada dengan penggiat industri seni mahupun pengamal media tempatan masih sama seperti dahulu. Sayang abang tak berubah,” katanya berjenaka.
Kata Bront lagi, usaha menempa nama di Indonesia tidak mudah dan tidak juga terlalu sukar. Ujarnya, semua itu berlaku secara kebetulan kerana rezekinya sudah tertulis di situ.
“Tak adalah mudah. Cuma, apa yang sukar apabila terpaksa mencari projek yang menarik pada pandangan kita. Tawaran (berlakon filem) datang kepada kita dan tidak semua kita cari sendiri.
“Sebagai pelakon yang sudah matang, saya tidak mengejar watak, sebaliknya penceritaan dalam satu-satu naskhah itu lebih penting. Semakin diri ini berumur, watak pada saya jatuh nombor dua. Yang penting adalah jalan cerita,” katanya lagi.
Cerita peribadi kekal ‘peribadi’
DALAM kami meneruskan perbualan, saya selitkan pertanyaan berkisar kisah peribadi. Ketika artis lain berlumba-lumba berkongsi cerita keluarga di media sosial, Bront memilih pendekatan berbeza. Kenapa dia terlalu berahsia?
“Tak mungkin saya mahu ceritakan tentang kehidupan peribadi. Sebagai individu yang bekerja di hadapan kamera, saya lebih faham dan berdaya tahan untuk berdepan tohmahan, kecaman manusia.
“Tetapi, pada masa sama, saya kena fikir tentang keluarga. Ibu bapa kita mungkin lebih faham sebab anak dia sudah 20 tahun dalam industri seni.
“Tetapi, mentua? Isteri, anak-anak dan keluarga yang terkait dengan kita? Belum tentu mereka dapat menerima impak populariti. Jadi lebih baik, yang peribadi itu terus disimpan,” jelasnya.
Kongsinya lagi, pada usia 43 tahun, dia mencari kehidupan tenang dan lebih tawaduk. Wang dan pencapaian bukan lagi perkara yang dikejarnya dalam hidup.
“Keseimbangan hidup, antara keluarga dan kerjaya, itu yang saya inginkan pada usia-usia begini.
“Oh ya, kebebasan dari segi kewangan. Itu juga impian saya.
“Berlakon, sekarang ini bagi saya adalah kerana minat, bukan lagi untuk bayar bil dan sebagainya.
“Filem bagi seorang pelakon memang penting, tetapi ia bukan segala-galanya. Ada lebih banyak perkara yang perlu saya utamakan,” jelasnya.
Pindah ke Indonesia?
BRONT mengakui bahawa dia ada memikirkan tentang perkara itu. Namun, katanya keputusan berpindah ke negara jiran tidak akan dibuat dalam masa terdekat.
“Mungkin… ia bergantung kepada jadual kerja. Bila kekerapan bekerja itu lebih banyak di sana, agak tidak logik untuk saya berada di sini. Tak logik untuk keluarga, pendidikan anak-anak, dan pihak produksi di sana.
“Bagaimanapun, ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat. Ada projek filem di Malaysia yang perlu saya selesaikan sehingga pertengahan tahun depan.
“Saya tak mahu memperkatakan tentangnya kerana belum ada apa-apa ketetapan berkenaan perkara itu. Apa yang boleh saya kongsikan, saya masih menilai keadaan, potensi dan kemungkinan,” jelas Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin Ke-14 itu.
Dalam pada itu, pelakon filem Terbaik Dari langit itu mengakui, impak filem Pengabdi Setan yang terlalu besar melonjakkan namanya di Indonesia.
“Saya rasakan peminat di sana lebih ramai berbanding di negara sendiri. Ya, perkara itu memang pelik. Kadang kala, sampai cop pasport di lapangan terbang pun ada yang menegur.
“Tapi, saya tidaklah terlalu teruja. Bagi saya perhatian peminat datang kerana kerja saya sebagai pelakon. Populariti pada saya, bukan lagi satu keutamaan. Barangkali sebab saya sudah berusia.
“Secebis perhatian tidak mengapa. Asalkan kehidupan peribadi saya bersama isteri dan anak-anak tidak diganggu, saya okay,” kongsinya.