KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengacara, Karl Shafek, 42, mengakui masih sayangkan kerjayanya sebagai anak seni, meskipun semakin sibuk membangunkan perniagaan jenama fesyen sendiri.
Semakin jarang menerima tawaran, Karl juga tidak menolak kemungkinan ada yang beranggapan, dia sudah tidak berminat meneruskan kerjaya seninya.
“Saya memberikan tumpuan penuh terhadap jenama fesyen, Neonate Clothing Company sejak 2019. Tetapi, saya tidak pernah umumkan yang saya mahu berhenti daripada bidang seni.
“Saya hanya mahu berehat sebentar, tetapi kita dilanda pandemik pada 2020. Jadi, saya diamkan diri dan memberikan tumpuan terhadap jenama saya.
“Sudah tentu keutamaan saya dalam bidang pengacaraan. Sepatutnya, tahun ini akan buat kemunculan semula dan ada menerima beberapa tawaran.
“Tetapi, disebabkan beberapa komitmen bisnes seperti jenama fesyen dan Dulang Kafe yang perlu saya berikan tumpuan, saya tidak dapat kembali ke bidang seni,” katanya.
Shafek berkata, dia merancang untuk kembali aktif tahun depan.
“Insya-Allah, tahun depan. Sekarang, team saya sudah semakin besar. Apabila ramai dan semua memahami kerja masing-masing, segala-galanya menjadi lebih mudah,” katanya.
Shafek ditemui usai pertunjukan fesyen Neonate Clothing Company di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW) di Pavilion Bukit Bintang, baru-baru ini.
Sudah enam kali menyertai KLFW, jenama yang diusahakan oleh Shafek bersama rakan baiknya, Syahir Hamdan mendapat slot pertunjukan solo untuk 2022.
“Alhamdulillah, sekian lama terlibat dalam KLFW, kali ini kami mendapat slot pertunjukan solo. Pada awalnya, takut juga kerana ia bukan mudah, tetapi kami menyahut cabaran ini.
“Kami mendapat inspirasi daripada barangan lama. Saya dah Syahir gemarkan sesuatu yang vintaj dan kami terjemahkan dalam koleksi yang diberi nama Neostalgia.