KOTA BHARU: Seorang lelaki yang memecahkan cermin kereta dan mengugut seorang wanita dalam kejadian di simpang empat Limbat di sini, Khamis lalu ditahan polis semalam.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek berusia 45 tahun ditahan pada pukul 6.30 petang di rumahnya di Nilam Puri, di sini.
Katanya, susulan penahanan itu, suspek kini ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506/ 279 dan 427 Kanun Keseksaan.
“Siasatan awal suspek mempunyai tujuh rekod jenayah termasuk enam kes dadah dan satu kes curi. Hasil saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/cermin-600x399.jpg)
MUHAMAD Zaki Harun semasa sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Utusan Online 30 Julai lalu melaporkan, polis sedang memburu seorang lelaki yang bertindak memecahkan cermin kereta dan mengugut seorang wanita dalam kejadian di kawasan simpang empat Limbat.
Terdahulu, tular dalam media sosial video berdurasi dua minit 17 saat yang dirakam oleh mangsa selepas kereta dipandunya dihimpit sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Menerusi video itu, suspek dilihat keluar dari keretanya dan kemudian memecahkan cermin kereta yang dinaiki oleh mangsa. – UTUSAN