KUALA LUMPUR: Pelakon, Aeril Zafrel, 33, menempelak seorang netizen yang mempersoal tindakannya memuat naik rakaman di Instagram (IG) ketika mengunjungi stadium Old Trafford, baru-baru ini.
Menurut Aeril, dia kesal apabila perkongsiannya itu disalah erti netizen terbabit yang menuduh pelakon itu sengaja menunjuk-nunjuk keseronokkannya ketika mengunjungi stadium berkenaan.
“Nama pun kali pertama masuk stadium kak. Nak rakam macam mana.
“Susah juga kalau semua yang kita muat naik orang ingat asyik nak menunjuk sahaja. Aku syak akak ini Liverpool,” tulisnya di IG.
Terdahulu, individu tersebut yang meninggalkan komen berbaur kebencian di IG Aeril, menuduh pelakon berkenaan cuba menunjuk-nunjuk kemampuannya pergi ke stadium berprestij itu.
“Kalau masuk stadium dekat Malaysia, tak ada pun tunjuk video. Asal masuk stadium luar negara, rajin pula buat video ya.
“Nampak sangat nak tunjuk benda mampu. Sini pun best juga,” komennya.
Aeril bagaimanapun segera menjelaskan dia belum pernah masuk ke mana-mana stadium dan itu adalah kali pertama menjejakkan kaki ke lokasi terbabit seumur hidupnya.
“Kan saya sudah cakap, ini kali pertama saya dapat masuk stadium seumur hidup saya.
“Sebelum ini nak buat video macam mana?,” jawabnya.