Suri rumah maut dalam kejadian langgar lari

Suri rumah maut dalam kejadian langgar lari

HABAKHOZAH Azmi meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar lari dalam kemalangan di Jalan Bukit Kechil,Tikam Batu di Sungai Petani tengah hari semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI- Seorang suri rumah maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai dirempuh dari belakang dalam kejadian langgar lari di Jalan Bukit Kechil,Tikam Batu dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu, mangsa, Habakhozah Azmi, 46, dari Kampung Perlis, Simpor meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa yang tidak bekerja maut selepas alami kecederaan parah di kepala kerana digilis oleh kereta yang sebelum itu merempuhnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, ketika kejadian suri rumah itu menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan ke Kampung Sungai Pasir.

“Mangsa dipercayai dilanggar oleh sebuah kereta Honda Civic yang dipandu laju oleh seorang lelaki berumur 23 tahun yang mengekorinya di laluan sama.

“Akibat rempuhan kuat itu mangsa terpelanting ke tengah jalan dan digilis pula oleh kereta sama menyebabkan mangsa meninggal serta-merta,” katanya.

Bagaimana pun kata Zaidy, pemandu kereta itu kemudian melarikan diri sebelum kenderaannya ditemui ditinggalkan di Taman Teluk Baiduri lebih kurang 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.

“Semakan polis mendapati pemandu yang melarikan diri itu dikenal pasti sebagai Muhamad Asraf Rosli seorang pengganggur.

“Usaha polis mengesan suspek di rumah ibu tirinya di Kampung Simpor gagal menemuinya dan dimaklumkan dia tidak pulang ke rumah sejak lima hari lalu,” katanya.

Kata Zaidy mayat mangsa dihantar untuk saringan Covid-19 dan bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim.

“Kita sedang meneruskan usaha menjejaki suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya