SIK: Aktiviti memarut kelapa menggunakan peralatan tradisional mungkin sudah kurang dilakukan sesetengah masyarakat ekoran penggunaan mesin yang lebih mudah dan menjimatkan masa.
Ekoran itu, pertandingan sukan rakyat yang menganjurkan pelbagai permainan dan aktiviti tradisional itu mengimbau semula nostalgia kepada lebih 1,000 penduduk di Bandar Baru Beris Jaya, di sini, hujung minggu lalu.
Seorang warga emas, Siti Hajar Wahab, 75, mengakui, walaupun sejak kecil memarut kelapa menggunakan peralatan tradisional, dia kini lebih selesa menggunakan mesin bagi penyediaan makanan.
“Memang guna mesin lebih cepat dan mudah berbanding secara tradisional, apatah lagi pada usia sebegini yang memerlukan kudrat lebih untuk parut kelapa guna tangan sahaja.
“Tetapi dengan penganjuran aktiviti seperti ini, kami jadi seronok kerana teringat zaman dahulu yang memang tidak ada mesin dan peralatan canggih seperti sekarang. Mujur tangan saya masih dapat memarut kelapa dengan baik,” katanya ketika ditemui semalam.
Selain acara mengupas dan memarut kelapa yang dimenangi Siti Hajar dan anak saudaranya, Rosman Itam, 54, pertandingan sepak raga tuju, sepak raga tuju gelung, tarik tali, boling kelapa dan aktiviti sampingan lain memeriahkan lagi aktiviti penduduk.
Sementara itu, Azahari Karim, 43, pula berkata, sejak berpindah dari kampung asal mereka di Kampung Sungai Batang, Mukim Sok yang dijadikan Empangan Beris sejak 22 tahun lalu, dia gembira kerana program seperti itu dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk yang berasal dari beberapa buah kampung.
“Program seperti ini dapat menghimpunkan anak-anak muda yang sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti harian dan pekerjaan masing-masing,” katanya.
Dalam program anjuran Syarikat Al Tamim World Sdn. Bhd. itu, sebanyak 35 pasukan menyertai acara sepak raga tuju manakala 40 individu menyertai sepak raga tuju gelung serta terdapat 15 permainan lain yang turut disertai pelbagai lapisan penduduk.
Sementara itu, Pengarah Urusan Al Tamim World, Datuk Ku Ardanan Dollah berkata, pihaknya berharap program itu dapat memupuk semangat kerjasama antara penduduk dan mengeratkan silaturahim antara mereka dengan jawatan kuasa masjid di kawasan perumahan yang banyak membantu menjayakan program terbabit. – UTUSAN