Sudut gegelang Zuhal lebih landai ketika istiqbal

Sudut gegelang Zuhal lebih landai ketika istiqbal

TANGKAP layar rupa bentuk Zuhal yang dirakamkan menerusi aplikasi SkySafari 6 Pro ketika fenomena istiqbal. - Foto ihsan Falak Online
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Awal pagi tadi, para peminat astronomi tempatan bukan sahaja teruja dapat melihat sendiri fenomena istiqbal Zuhal yang bertentangan antara matahari dan bumi di tengah.

Malahan, planet yang kedua terbesar dalam sistem suria itu dapat disaksikan sendiri secara mata kasar dengan keadaan paling terang ketika kejadian tersebut berlaku pada pukul 1 pagi.

Menurut seorang pakar astronomi terkenal tanah air, Shahrin Ahmad, momen alamiah itu bahkan selalunya akan dikaitkan dengan jarak planet tersebut konon paling hampir daripada bumi.

“Berdasarkan ukuran aplikasi SkySafari 6 pro, kedudukan Zuhal dengan bumi ketika peristiwa ini ialah 1.325 bilion kilometer. Jauh tu!” jelasnya menerusi laman portal beliau, Falak Online.

Istiqbal atau disebut sebagai oposisi adalah situasi apabila sesebuah planet menghadap bumi dalam keadaan tepat bertentangan dengan matahari yang berada segaris di belakang bumi.

Fenomena melibatkan Zuhal pula menyaksikan imej planet unik dengan sistem gegelang itu dilihat begitu terang di bumi berbanding jika bergerak di kedudukan lain dalam laluan orbitnya.

Ia turut kelihatan jelas sepanjang malam di buruj Capricornus pada jarak 10 unit astronomi atau AU dari matahari manakala kedudukannya dari bumi pula begitu hampir sembilan unit AU.

Ketika berada dalam posisi istiqbal, Zuhal tampak cerah di langit malam di ufuk timur dengan kenampakannya semakin menghala ke arah ufuk barat sehingga awal Januari 2023 kelak.

Mengulas lanjut, Shahrin berkata, untuk fenomena oposisi kali ini, sudut gegelang planet berkenaan kelihatan lebih landai berbanding gambaran imej pada tahun-tahun yang sebelumnya.

“Ini menunjukkan sudut satah orbit bumi semakin mengecil berbanding Zuhal dan tidak lama lagi, kita akan lihat gegelang planet itu betul-betul dari tepi seperti satu garisan lurus,” katanya.

Meskipun tidak seterang Zuhrah dan Musytari, namun Zuhal tetap boleh disaksikan dengan mudah menerusi mata kasar seperti bentuk sebuah bintang berkelip sederhana di timur langit.

Planet ini mengalami istiqbal setiap 378 hari dengan kali terakhir ia berada dalam kedudukan oposisi itu ialah pada 2 Ogos 2021 lalu dan seterusnya pula ialah  pada 27 Ogos 2023 nanti.

Sekiranya cuaca mengizinkan tanpa ada hujan, planet ini juga boleh diperhatikan secara mata kasar sahaja dengan menghadap ke arah timur yang bebas daripada sebarang halangan.

Zuhal ujar beliau, akan kelihatan sebagai titik yang terang dan tidak berkelip malah jika ingin dilihat sistem gegelangnya itu, penggunaan binokular atau teleskop adalah amat digalakkan. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya