PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Azza Elite, tampil memberi reaksi terhadap dakwaan pengacara kontroversi, Azwan Ali kononnya masih belum menerima sejadah yang dibeli daripada ahli kumpulan Elite itu.
“Sampai hati dia tulis macam ini! Bapa saya meninggal semalam (kelmarin) faham tak. Saya tidak pernah cari pasal dengan sesiapa .
“Baru beberapa hari balik dari Singapura, saya terus sibuk nak fikir urus mak. Dengan bapa saya sakit. Tidak boleh nak fikir orang nak membeli sejadah atau apa, saya fikir ayah dan mak sahaja.
“Dalam dunia ini biar kita dahulukan mak dan ayah kita ya abang,” katanya.
Mengulas lanjut, Azza itu turut menitipkan pesanan terhadap Azwan agar menjaga pertuturan agar tidak mudah untuk mengeluarkan kata-kata yang kurang enak sehingga tidak menjaga sensitiviti orang lain.
“Jangan sesuka hati maki! Sebab sudah terbiasa mulut itu maki orang jadi makanan kau. Niat itu baik nak beli sejadah aku bersyukur. Tetapi dalam masa yang sama fikir juga keadaan orang lain.
“Saya baru kehilangan ayah. Jangan buat anak yatim macam ini abang. Dan jangan lupa kematian itu sangat dekat dengan kita. Ingat Allah ya abang sebelum nak bercakap apa-apa,” tulisnya panjang.
Sementara itu, dalam perkongsian sama, Azza meminta pengcara itu untuk menghubunginya segera bagi menyelesaikan isu tersebut.