BUKIT MERTAJAM: Pulau Pinang melakar sejarah tersendiri apabila seramai 611 calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 daripada 11 buah sekolah di negeri itu mencapai kelulusan 100 peratus.
Daripada seramai 2,048 calon yang layak mendapat sijil juga, 82 daripadanya menunjukkan prestasi yang cemerlang apabila memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 dalam peperiksaan berkenaan.
Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan negeri (Sektor Pengurusan Sekolah), Wan Sajiri Wan Hassan, dalam satu sidang akhbar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, di sini hari ini.
Menurut Wan Sajiri, Pulau Pinang juga merekodkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) membanggakan iaitu 2.85, lebih tinggi daripada PNGK peringkat nasional iaitu 2.79 selain PNGK negeri sebelum ini iaitu 2.83 (2020) dan 2.79 (2019).
Secara keseluruhan kata beliau, hanya 10 daripada keseluruhan 2,049 calon dari sekolah milik Kementerian Pendidikan gagal mendapat sijil kali ini.
“Saya yakin kejayaan yang dikecapi ini adalah hasil daripada usaha dan perancangan rapi daripada pelajar-pelajar, ibu bapa, guru-guru, pentadbir sekolah, masyarakat, petugas peperiksaan serta warga Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang yang telah menguruskan pengoperasian peperiksaan dengan jayanya dan mematuhi norma baharu.
“Kejayaan ini adalah hasil daripada komitmen dan amanah yang telah diuruskan dengan jayanya,” katanya. – UTUSAN