STPM 2021 catat purata PNGK 2.79

STPM 2021 catat purata PNGK 2.79

Mohd.  Ekhwan Toriman (kiri) Adnan Husin dalam sidang akhbar pengumuman keputusan peperiksaan STPM 2021, di Ibu Pejabat MPM hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.79 nasional untuk Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 meningkat sebanyak 0.01 mata kepada 2.79 berbanding tahun sebelumnya, iaitu 2.78.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, pencapaian untuk STPM tahun ini secara umumnya  sama dengan pencapaian calon 2020.

“Ini kerana perbezaan peningkatan sangat kecil iaitu hanya sebanyak 0.01 mata dan perbezaan peningkatan ini tidak menggambarkan signifikan yang besar kepada pencapaian calon STPM 2021 berbanding calon STPM 2020,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2021, di  Batu Caves, di sini hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 874 calon daripada kumpulan STPM 2021 di seluruh negara mendapat PNGK 4.00 dan daripada jumlah tersebut sebanyak 66.82 peratus adalah daripada golongan B40.

“Bilangan calon yang mendapatkan PNGK 4.00 ini meningkat sebanyak 133 calon, iaitu daripada 741 calon pada tahun 2020 kepada 874 calon pada tahun 2021.

“Dari segi pencapaian PNGK calon secara keseluruhannya didapati peratusan longgokan calon STPM 2021 pada PNGK 3.75 dan ke atas (9.04 peratus), PNGK 3.00 dan ke atas (41.72 peratus), PNGK 2.75 dan ke atas (55.85 peratus), dan PNGK 2.00 dan ke atas (88.24 peratus) adalah meningkat berbanding tahun 2020,” katanya.

Pada tahun 2020, bilangan calon berdaftar adalah seramai 44,704 dan bilangan calon hadir pula seramai 42,983 dengan PNGK Nasional pada 2.78.

Manakala pada tahun 2021, bilangan calon berdaftar adalah seramai 42,369 dan bilangan calon yang hadir pula seramai 40,926 dengan PNGK Nasional pada 2.79.

Mengulas  lanjut, Mohd. Ekhwan memaklumkan, peratusan PNGK STPM untuk tahun ini akan membenarkan lebih ramai calon lepasan peperiksaan tersebut diterima masuk ke mana-mana universiti awam.

“Dengan peningkatan peratusan bilangan calon pada PNGK yang disebut ini, maka boleh dijadikan jangkaan, Insya-Allah tiada halangan lebih ramai calon lepasan STPM 2021 diterima masuk ke universiti awam pada tahun ini,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif MPM, Adnan Husin berkata, keputusan tahun ini adalah kali pertama tiada perbezaan jurang pencapaian antara calon bandar dengan calon luar bandar sejak tahun 2013 yang mana kedua-duanya memperoleh PNGK 2.79 dalam STPM 2021.

“Bagi setiap semester pelajar perlu lengkapkan 20 minggu pembelajaran secara bersemuka, pada tahun 2021 kita telah susun tarikh perperiksaan itu selepas lengkap tempoh pembelajaran tersebut, akan ada lagi tempoh untuk pelajar-pelajar mengikuti pembelajaran secara maya.

“Berbanding tahun sebelumnya iait 2020, 20 minggu ini termasuk pembelajaran secara bersemuka dan secara maya. Maksud disini, ada ruang yang panjang untuk pelajar bandar dan luar bandar mempelajari subjek-subjek mereka ambil,” jelasnya.

INFO:

2021 (PNGK 2.79)

Calon daftar (42,389)

Calon hadir (40,926)

Calon sekolah kerajaan yang hadir (40,743)

Calon sekolah swasta yang hadir (60)

Calon persendirian individu yang hadir (104)

Calon sekolah kerajaan negeri yang hadir (19)

 

– UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN