Skandal LCS: Hasil siasatan diumum dalam masa terdekat

Skandal LCS: Hasil siasatan diumum dalam masa terdekat

AZAM Baki pada Majlis Pertemuan Tahunan Ahli Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) bagi Tahun 2022 di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Kuala Lumpur. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah berada di peringkat akhir.

Menegaskan perkara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan berkenaan projek perolehan berkenaan telah lama dijalankan SPRM sejak beberapa tahun lalu.

Azam memberitahu, beliau bagaimanapun tidak dapat memaklumkan di peringkat mana dan apa keputusan mengenai siasatan itu.

Kata beliau, perkara itu perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan beberapa pihak berkaitan sebelum boleh didedahkan kepada umum.

“Buat masa ini pihak saya masih lagi reserve (tidak mahu) untuk memberi apa-apa kenyataan dan saya akan maklum kemudian apabila bersedia membuat pengumuman.

“Saya sudah pernah memberi kenyataan sebelum ini (mengenai siasatan). Saya kena menjaga sensitiviti hal penyiasatan dan kerahsiaan kes ini kerana bukan sahaja membabitkan SPRM tapi juga Jabatan Peguam Negara dan sebagainya.

“Sebab itu saya kena pastikan perkara ini diambil kira dahulu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pertemuan Tahunan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di sini, hari ini.

Sementara itu, Azam menjelaskan, terpulang kepada mana-mana pihak yang menggambarkan siasatan seperti belum dijalankan dan sebagainya selain menggesa SPRM untuk menyiasat. 

“Perkara-perkara ini seperti mana saya pernah sebut sebelum ini, kadangkala saya tidak dapat memaklumkan apa-apa kepada umum. Sesuatu perkara yang semua perlu tahu belum masanya. Ayat seumpama ini ayat melencong walhal banyak kali saya katakan, kita telah menyiasat dan berada di peringkat akhir siasatan,” ujarnya.

Terdahulu, pelbagai pihak mendesak SPRM supaya menyelesaikan segera siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur LCS susulan laporan PAC yang dibentangkan pada Khamis lalu.

Antara yang mendesak adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam laporan yang dibentangkan itu, PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan kapal berkenaan, antaranya kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya