SJKT Ladang Regent beroperasi di bangunan baharu

Penantian lima tahun berakhir, SJKT Ladang Regent beroperasi di bangunan baharu

MAH Hang Soon (tengah) menyerahkan CPC kepada Navaneetham (kanan) sempena Majlis Penyerahan Salinan CPC Bangunan Baharu SJKT Ladang Regent, Gemencheh, Tampin hari ini. - FOTO/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Penantian warga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Regent, Gemencheh di sini, untuk menggunakan bangunan baharu sekolah tersebut yang telah siap sejak tahun 2016 berakhir apabila Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) bangunan itu diperoleh pada 8 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, bangunan berkenaan merupakan salah satu daripada empat buah sekolah yang telah selesai pemberian CPC oleh Bahagian Pembangunan, Kementerian Pendidikan setakat hari ini.

“Bagi SJKT Ladang Regent ini, ia mula dibina pada 14 Ogos 2014 dan siap pada 14 Ogos 2016. Bagaimanapun terdapat empat kali Lanjutan Tempoh Masa (EOT) dan kelewatan.

“Ia di atas sebab pihak Majlis Daerah Tampin (MDT) meletakkan syarat untuk membina jalan asing bagi keluar-masuk, syarat baru Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd .untuk sambungan paip dari jalan utama serta perintah kawalan pergerakan (PKP) yang melewatkan kerja-kerja membaik pulih.

“Saya telah mengadakan lima perbincangan dengan pihak pembangunan agar mempercepatkan pemberian CPC dan menghantar enam memo meminta status terkini projek sejak tahun 2020,” katanya sempena Majlis Penyerahan Salinan CPC Bangunan Baharu SJKT Ladang Regent, Gemencheh di sini, hari ini. 

Sebelum ini media melaporkan lebih 20 orang ibu bapa mengadakan bantahan secara aman bagi memohon pihak bertanggung jawab membenarkan anak-anak mereka bersekolah di bangunan baharu tersebut

Sekolah di lokasi baharu berkenaan telah menerima Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) pada 1 Februari tahun lalu.

Sementara itu, Guru Besar SJKT Ladang Regent, P. Navaneetham berkata, sekolah berkenaan sudah beroperasi sejak lebih 100 tahun lalu bermula di sebuah kuil.

Bangunan sekolah lama sudah berusia hampir 90 tahun itu dengan bangunan pertama didirikan pada tahun 1934 dan sudah pun diklasifikasikan sebagai tidak selamat diduduki.

Menurutnya, sekolah baharu berkenaan yang terletak lebih satu kilometer dari sekolah lama lebih mudah diakses berikutan ia terletak berhampiran pekan Gemencheh.

“Terdapat 251 murid yang majoritinya menetap di luar kawasan ladang dan antara kesukaran yang dihadapi di lokasi sekolah lama ialah banjir selain kehadiran haiwan berbisa seperti ular,” katanya.

Menurutnya, sekolah baharu berkenaan akan mula diduduki dalam masa terdekat setelah kerja-kerja pembersihan serta pemindahan selesai dilaksanakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya