ALOR SETAR: Tiga pemilik syarikat masing-masing didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender daripada sebuah syarikat pembersihan, tiga tahun lalu.
Ketiga-tiga tertuduh iaitu Mohamad Asri Sapar, 48; Roslan Jaafar, 52, dan Mohamad Shamsul Aizat Mohd. Salleh, 31, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.
Hakim turut memerintahkan supaya kesemua tertuduh yang dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dipenjara 12 bulan sekiranya mereka gagal membayar denda ditetapkan itu.
Seorang lagi tertuduh, Zamri Mohamad, 53, yang turut didakwa di bawah seksyen sama bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dikenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin selepas hakim menetapkan 26 September ini sebagai tarikh serahan dokumen.
Mohamad Asri didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu penyata akaun Maybank Islamik Syarikat Itifaq Venture (M) Sdn. Bhd bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 dalam permohonan tender tersebut.
Roslan pula dituduh menggunakan penyata akaun Maybank Syarikat D Hujung Enterprise bagi bulan Oktober hingga Disember 2018, manakala Mohamad Shamsul Aizat didakwa menggunakan penyata akaun CIMB atas nama Exeliq Trading and Engineering Sdn. Bhd. bagi tempoh sama.
Mohamad Asri dan Mohamad Shamsul Aizat didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Idaman Sdn. Bhd. masing-masing pada 14 Januari 2019 dan 17 Januari 2019, sementara Roslan turut melakukan kesalahan antara 11 Februari hingga 5 Mac di lokasi dan tahun yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd. Zulfadli Azharudin, manakala ketiga-tiga tertuduh terbabit tidak diwakili peguam.
Zamri yang diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dituduh menggunakan penyata akaun Maybank milik NSZ Arked Entreprise yang palsu bagi memperolehi tender di Wisma Idaman, pada 22 Februari 2019.
Harmi Thamri sebelum menjatuhkan hukuman kepada ketiga-tiga tertuduh yang mengaku bersalah, mengingatkan mereka agar tidak mengulangi perbuatan itu dan mendapatkan sesuatu tender mengikut cara yang betul.
“Senang sekejap hasil perbuatan itu, tetapi perkara yang salah tetap salah. Saya tak nak beri ceramah atau berhujah, harap jadi pengajaran kepada diri sendiri (tertuduh) dan tauladan kepada orang ramai.
“Kalau ada hasrat nak buat cara yang sama tak payah lah, tak kena tak apa, kena habislah anda, keluarga dan semua. Bukan mahkamah tiada hati perut (jatuhkan hukuman tinggi) sebab kalau denda RM10 tak jadi tauladan kerana hakikatnya kita perlu jaga kepentingan awam,” hujahnya.
Sementara itu, keempat-empat tertuduh membayar denda yang dikenakan termasuk wang jaminan terhadap Zamri. – UTUSAN