Selamat jalan Sandy Olsson - Utusan Malaysia

Selamat jalan Sandy Olsson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA hiburan pada Isnin lalu meratapi pemergian bintang filem Grease, Olivia Newton-John.

Newton-John yang sekian lama menderita kanser, menghembuskan nafas terakhir meninggalkan peminat dengan 1001 kenangan menerusi filem dan lakonannya.

Dia meninggal dunia pada usia 73 tahun di kediamannya di California. Pada saat-saat terakhir kehidupannya, dia ditemani keluarga dan kenalan rapat.

Suaminya, John Easterling merupakan antara insan paling terkesan dengan pemergian Newton-John. Dia menyifatkan isterinya sebagai simbol kekuatan dan inspirasi buat pesakit kanser lain.

“Newton-John adalah simbol kejayaan dan harapan bagi ramai pesakit kanser yang terinspirasi dengan kisahnya yang menderita kanser payudara,” tulis Easterling di Instagramnya.

Persembahan penyanyi dan pelakon kelahiran Australia membawakan watak Sandy dalam filem itu telah menghadirkan impak yang besar buat peminat perfileman global.

 

Mula menyanyi pada usia 14 TAHUN

Newton-John mula menyanyi pada usia 14 tahun ketika menyertai sebuah band yang dinamakan sebagai Sol Four.

Dia kemudian berhijrah ke United Kingdom (UK) bersama rakan duetnya, Pat Carroll pada 1961 dan kemudian merakam single pertama mereka, Till You Say You’ll Be Mine pada 1966.

Pada 1971, Newton-John bergerak sendiri dengan melahirkan album solo pertama, If Not For You. Dia meneruskan kejayaan solo menerusi album kedua, Olivia.

Tuah menyebelahi penyanyi tersebut selepas menerbitkan lagu Let Me Be There yang melayakkannya meraih anugerah Grammy bagi kategori Penyanyi Country Wanita Terbaik.

Kerjayanya memuncak selepas ditawarkan membintangi filem – bersama John Travolta pada 1978. Newton-John membawakan watak Sandy dalam produksi yang menjadi filem paling laris sepanjang tahun tersebut.

 

Penderitaan 30 tahun, berakhir

Selama 30 tahun, Newton-John secara terbuka berkongsi penderitaannya menghidap kanser payudara. Selama itu, dia tidak pernah putus berharap untuk pulih.

Dia mula disahkan menghidap kanser pada 1992. Berita duka itu diterimanya pada minggu yang sama bapanya meninggal dunia, juga kerana kanser.

Selama berdekad lamanya, Newton-John berkongsi kisah usahanya untuk pulih daripada penyakit tersebut, termasuk pembedahan mastectomy, kimoterapi dan pembentukan semula payudara yang dijalaninya sebelum ini.

Pada 2013, dia mengesahkan kansernya merebak ke bahagian tubuhnya yang lain, termasuk bahu, manakala pada 2017, Newton-John memaklumkan kanser dialaminya terus merebak ke bahagian belakangnya.

Pada tahun 2018 pula, mendiang mengesahkan dia menjalani rawatan bagi kansernya yang ketika itu telah merebak ke bahagian bawah tulang belakangnya.

Menyedari peranannya, Newton-John bertindak menubuhkan Olivia Newton-John Cancer Wellness yang berpusat di Melbourne, Australia.

Sehingga kini, badan kebajikan tersebut terus menaja penyelidikan perubatan berkaitan ubat-ubatan berasaskan tumbuhan bagi merawat kanser.

Upacara pengebumian bintang kesayangan ramai itu bakal diadakan di negara kelahirannya setelah ahli keluarganya menerima tawaran kerajaan untuk menganjurkan upacara pengebumian di Victoria.

Lokasi dan tarikh upacara berkenaan masih belum ditetapkan memandangkan pihak keluarga dan kerajaan negeri Victoria masih membuat perbincangan lanjut berkenaan perkara tersebut.

Namun, Menteri Besar Victoria, Daniel Andrews memberi gambaran untuk menganjurkan konsert besar-besaran dan bukan upacara pengebumian biasa.

“Keluarga mendiang amat tersentuh dengan penduduk Victoria yang ingin meraikan kehidupan Newton-John di sana.

“Ucapan takziah dan doa yang diberikan peminat, termasuk penduduk Victoria amat bermakna buat keluarga Newton-John yang ketika ini berhadapan detik sukar dalam hidup mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya