Sektor pelancongan tunjuk perkembangan positif

Sektor pelancongan tunjuk perkembangan positif

ORANG ramai sudah mula melancong selepas ancaman pandemik Covod-19 berkurangan -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri pelancongan semakin bergiat aktif serta pelancong domestik mahupun antarabangsa meningkat dan dapat dilihat tempat penginapan turut penuh sejak dua bulan kebelakangan ini.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang berkata, dari Jun hingga Ogos ini dapat dilihat peningkatan pelancong terutamanya dari negara Australia, Kemboja, United Kingdom, India dan Korea Selatan. 

“Peningkatan ini menunjukkan petanda yang baik buat ekonomi negara dan dapat dilihat strategi yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) membuahkan hasil. 

“Pada dua hingga empat September akan datang MATTA Fair akan diadakan di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) di mana ruang pameran terlebih tempahannya kerana ramai agensi yang berminat untuk membuat pameran,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia. 

Terdahulu statistik prestasi dan kerugian untuk suku tahun pertama dijangkakan boleh mencecah RM100 hingga RM 200 juta kerugian menandakan industri pelancongan sangat terkesan dan memerlukan pembukaan sempadan. 

Sejurus itu, pembukaan sempadan dapat memulihkan aktiviti pelancongan antarabangsa dan menyumbang kepada ketumbuhan ekonomi negara selepas jatuh akibat terkesan dengan pandemik untuk tempoh masa yang lama. 

Mengulas lanjut, Kok Liang berkata, dalam fasa endemik ini beliau yakin industri pelancongan akan terus menunjukkan peningkatan yang positif.

“Malaysia menerima hampir 26 juta pelancong sebelum pandemik dan dalam fasa pemulihan tahun ini, MOTAC menganggarkan lima juta pelancong sebelum akhir tahun.

 “Tidak dapat dinafikan bahawa kerugian semasa pandemik tidak dapat diatasi begitu cepat namun kita sedang pulih sedikit dan keuntungan dapat dilihat walaupun tidak banyak,” katanya. 

Beliau berharap permohonan Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN) diteruskan oleh kerajaan, supaya dapat melaksanakan promosi dan pemasaran bagi meningkatkan ketibaan pelancong asing ke negara ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN