668 pelajar SMKA Pedas terpaksa ikuti sesi PdPR

Sekolah terbakar: 668 pelajar SMKA Pedas terpaksa ikuti sesi PdPR

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran yang berlaku membabitkan bangunan asrama pelajar lelaki di SMKA Dato' Haji Abu Hassan Haji Sail, Pedas, Rembau petang kelmarin.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seramai 668 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail di Pedas, dekat sini, akan menjalani sesi Pengajaran Dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas bangunan menepatkan asrama pelajar lelaki dan sebuah bilik darjah terbakar dalam kejadian petang kelmarin.

Pengetua sekolah berkenaan, Nor Iskandar Muhammad berkata, buat masa ini, pelajar akan menjalani sesi PdPR di rumah buat sementara waktu bertujuan membolehkan pasukan bomba dan agensi lain menjalankan siasatan lanjut.

“Mujur semasa kebakaran berlaku tiada pelajar di asrama berikutan masing-masing diwajibkan pulang ke rumah pada hujung minggu dan hanya akan pulang ke asrama hari ini pada pukul 2 petang,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Arif Ahmad Osasi berkata, kejadian kebakaran tersebut berlaku kira-kira pukul 1.18 petang membabitkan sebuah blok bangunan asrama pelajar lelaki di tingkat tiga dan juga sebuah kelas di bangunan berlainan di Blok C.

“Bangunan berkeluasan 40 x 200 kaki persegi ini termasuk bumbung dianggarkan musnah terbakar 80 peratus. Kebakaran kelas di bangunan lain di sekolah ini juga dilaporkan berlaku membabitkan bahagian dinding dan bumbung dalam kelas tersebut musnah sebanyak satu peratus.

“Kebakaran berkenaan berjaya dipadamkan oleh guru menggunakan tiga alat pemadam api. Pasukan bomba juga membantu memadamkan sepenuhnya kebakaran di kelas berkenaan dan sehingga pukul 4 petang, kerja-kerja pemadaman serta pemantauan kebakaran masih dilakukan,” katanya lagi sambil memberitahu siasatan lanjut masih diteruskan.

Sementara itu, seorang penjaga, Norasiah Abd. Rashid, 46, berkata, dia yang dalam perjalanan mahu menghantar anaknya pulang ke asrama terkejut apabila terlihat kepulan asap keluar dari arah sekolah tersebut.

“Sebaik sahaja tiba di hadapan asrama, saya melihat api marak dengan cepat di tingkat tiga dan sejurus selepas itu pasukan bomba tiba.

“Memang sedih tetapi mujur tiada anak-anak di asrama.  Disebabkan kejadian berkenaan pihak sekolah juga telah memaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga untuk tidak menghantar anak masing-masing pulang ke asrama buat masa sekarang,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya