KUCHING: Sarawak mencatatkan seramai 703,891 pengunjung setakat 31 Julai tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 851.81 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata dengan rekod itu, negeri ini mampu mencapai sasaran ketibaan 1.2 juta pengunjung tahun ini.
“Ini kerana dalam tempoh enam bulan (1 Jan hingga 31 Julai), kita sudah menerima lebih 700,00 pengunjung. Daripada jumlah itu 127,448 pengunjung adalah warga asing (bukan warga Malaysia), manakala 576,443 pengunjung domestik.
“Pada tahun lepas, kita hanya merekodkan 11,785 warga asing dan 62,168 pengunjung domestik bagi tempoh yang sama,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Restoran Borneo Culture Muzium malam tadi.
Dedahnya lagi, dari nilai resit pelancongan Sarawak mencecah RM1.64 bilion setakat 31 Julai tahun ini, berbanding RM171.29 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Pada Julai 2021, Sarawak hanya merekodkan 9,186 pelawat ke Negeri ini, tetapi jumlah itu menunjukkan peningkatan kepada 1,318.16 peratus bagi Julai 2022 dengan 130,272 pelawat.
“Bagi warga asing pada Julai 2021 ialah 1,310. Tahun ini, kita merekodkan 45,659 warga asing. Dari segi peratusan, ia adalah pertumbuhan 3,385.42 peratus.
“Sebab itu kita sangat yakin (mencapai RM1.2 bilion ketibaan pelancong). Melihat kepada jumlah penerbangan yang sudah kembali seperti biasa dan beberapa acara yang diaanjurkan secara praktikal setiap minggu, kita yakin akan membawa lebih banyak lagi jumlah pengunjung ke Sarawak.
“Pengusaha hotel sangat gembira. Saya telah bercakap dengan pengurus Waterfront Hotel, jumlah penginapan dari pengunjung pada setiap bulan melebihi 90 peratus. Saya juga telah bercakap dengan pengurus Hotel Hilton, turut sama iaitu 90 peratus. Dan saya percaya pengusaha hotel yang lain turut sama,” katanya. –UTUSAN