ALOR GAJAH: Seorang pemuda di Kampung Taboh Naning di sini hanya mampu mengucapkan perkataan syukur selepas terselamat daripada insiden pokok besar tumbang menghempap rumah pusakanya dalam kejadian Ahad lalu.
Menceritakan detik cemas itu kepada Utusan Malaysia, Mohd. Syahed Shariff, 36, berkata, dia segera keluar dari rumah apabila terdengar jeritan rakan hanya beberapa saat sebelum pokok berkenaan menyembah bumi.
Katanya, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4 petang semasa dia bersama seorang rakan hendak pergi memancing.
Jelasnya, rakan yang sedang menunggu di luar rumah melihat pokok itu bergoyang dengan kuat lantas semakin condong ke arah rumahnya yang berusia hampir 60 tahun.
“Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, rakan terus menjerit sekuat hati hingga saya yang berada di dalam rumah segera keluar melalui pintu dapur. Kemudian saya lihat sebatang pokok sebesar tiga pemeluk dewasa menghempap rumah.
“Buat masa ini saya menumpang di rumah kakak yang terletak berhampiran. Saya akan baiki mana yang patut dahulu kerana untuk membina seperti asal agak mustahil ekoran kos yang tinggi,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Mohd. Syahed memaklumkan, kejadian itu sebenarnya boleh dielak sekiranya laporan berhubung hakisan tebing sungai di belakang rumahnya diambil tindakan segera.
Menurutnya, aliran air yang deras ketika hujan lebat telah menghakis tebing sungai berkenaan sehingga menampakkan akar tunjang pokok berkenaan.
“Saya dah buat laporan tapi tiada tindakan segera daripada pihak berwajib. Baru-baru ini saya difahamkan mereka ada membincangkan mengenai keadaan hakisan tebing ini. Saya berharap masalah ini diambil perhatian sewajarnya,” katanya. – UTUSAN