Rozman kekal dibicara di Mahkamah Sesyen, gagal pindah kes

Rozman kekal dibicara di Mahkamah Sesyen, gagal pindah kes

ROZMAN ISLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah bagi sebuah projek, empat tahun lalu.

Perkara itu diputuskan selepas Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan beliau agar kes di Mahkamah Sesyen, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Perbicaraan dijadualkan didengar di hadapan Hakim Rozina Ayob pada 11 dan 12 Ogos ini selepas mahkamah menolak permohonan beliau agar prosiding ditangguhkan.

Hakim Muhammad Jamil ketika menolak permohonan itu berpendapat, meskipun Rozman mempunyai kedudukan sebagai Ahli Parlimen, status itu tidak mewajarkan perbicaraan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi walaupun beliau menyatakan kes itu menjadi tumpuan umum dan mendapat laporan media.

Mahkamah berpendirian, bukan menjadi undang-undang bahawa tertuduh yang berkedudukan sebagai Ahli Parlimen, maka perbicaraan harus didengar di Mahkamah Tinggi.

“Semua tertuduh mesti dilayan sama rata tanpa menghiraukan status dan Rozman yang merupakan seorang ahli politik tidak seharusnya diberi layanan berbeza jika memohon untuk memindahkan kesnya.

“Sama seperti tertuduh lain, beliau mesti memenuhi kehendak mana-mana perenggan di bawah Seksyen 417(1) Kanun Tatatacara Jenayah,” ujar hakim itu.

Hakim Muhammad Jamil berpendapat, kes melibatkan ahli politik lain seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berbeza kerana pihak pendakwaan tidak membantah terhadap permohonan pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi.

Beliau turut berpuas hati bahawa tiga persoalan undang-undang yang mungkin timbul pada perbicaraan di Mahkamah Sesyen kelak, tidak tergolong sebagai persoalan luar biasa atau sukar.

Pada hemat beliau, ketiga-tiga persoalan itu telah diputuskan dalam kes-kes terdahulu.

Hakim Muhammad Jamil berpendapat, kes-kes yang melibatkan persoalan undang-undang yang telah diputuskan oleh mahkamah atasan, harus diikut oleh hakim Mahkamah Sesyen yang membicarakan Rozman.

Menurut beliau, hakim Mahkamah Sesyen tidak dicabar kewibawaannya dan sudah tentu mampu membuat pertimbangan dan keputusan jika berhadapan dengan persoalan undang-undang yang mungkin dikemukakan.

Terdahulu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman berhujah, permohonan itu dikemukakan mengikut Seksyen 417(1)(b) Kanun Tatacara Jenayah iaitu berkenaan persoalan undang-undang yang luar biasa dan sukar yang mungkin timbul pada perbicaraan kelak.

Beliau yang hadir bersama-sama Nurmustanir Md. Nor berhujah, kes itu melibatkan kepentingan awam masyarakat setempat di Labuan yang merupakan sebuah tempat yang kecil.

Bagaimanapun permohonan itu dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd. Azmi atas alasan tiada keistimewaan individu yang berjawatan Ahli Parlimen yang mewajarkan perbicaraan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Namun demikian, Muhammad Rafique mempersoal mengapa pihak pendakwaan tidak membantah permohonan sesetengah personaliti namun permohonan Rozman dibantah menggunakan peruntukan undang-undang.

Pada 14 Oktober 2021, Rozman, 58, yang ketika itu merupakan Ketua Whip Warisan, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

Suapan itu ialah kontrak pekerjaan sebagai Operator Damaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. yang mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya