Rogol dan rompak wanita, remaja berdepan penjara 70 tahun -

Rogol dan rompak wanita, remaja berdepan penjara 70 tahun

K.P. Suren mengaku tidak bersalah merogol seorang wanita dan melakukan rompakan di sebuah hotel awal bulan ini selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Didakwa merogol seorang wanita dan melakukan rompakan di sebuah hotel awal bulan ini, seorang remaja berusia 18 tahun berdepan hukuman penjara selama 70 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, K.P. Suren, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin. 

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang wanita berusia 34 tahun tanpa kerelaannya dan pada masa atau segera sebelum menyebabkan kecederaan kepadanya. 

Bagi tindakan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. 

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat. 

Tertuduh juga didakwa melakukan rompakan wang tunai berjumlah RM100 dan sebuah telefon bimbit milik mangsa dan semasa kejadian tertuduh dengan sengaja mencederakan wanita terbabit. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat. 

Semua perbuatan itu dilakukannya antara pukul 1.11 pagi sehingga 1.20 pagi di sebuah hotel di Taman Paya Rumput Utama dalam daerah Melaka Tengah, 3 Ogos lalu. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari tidak mencadangkan sebarang jaminan, namun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan. 

Peguam Suresh Balakrishnan yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan jaminan akan dibuat oleh abang kepada anak guamnya yang hanya mempunyai pendapatan bulanan RM1,100. 

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM45,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 7 September depan sebagai sebutan semula kes. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya