RM2.8 bilion bina, senggara 303 projek di Johor - Utusan Malaysia

RM2.8 bilion bina, senggara 303 projek di Johor

FADILLAH YUSOF meninjau jalan Mersing-Kota Tinggi yang mengalami masalah keretakan serius sempena Jelajah FTRoadpedia Zon Selatan 2.0 di Jalan Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sebanyak RM2.8 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan dan menyelenggara 303 projek oleh kerajaan Persekutuan di negeri ini pada tahun ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia melibatkan sebanyak 43 projek bangunan yang bernilai RM816,116,695.54, 134 kerja selenggara bangunan berjumlah RM87,226,232.98 dan 24 projek jalan bernilai RM1,803,088,052.

Selain itu, peruntukan berkenaan merangkumi sebanyak 88 kerja penyelenggaraan jalan bernilai RM125,290,286.56 dan 14 projek jalan cerun berjumlah RM10,996,000.

“Dalam tinjauan kita bermula di Johor kebanyakan aduan adalah berkaitan jalan. Sebab itu kita tinjau jalan dari sempadan Pahang, Mersing hingga Kota Tinggi memang kita lihat keadaan jalan perlu dibina semula di sebahagian jalan kerana keretakan agak serius.

“Kita juga ada lalu sebahagian kawasan yang menjadi laluan haiwan liar, laluan gajah yang mengakibatkan kemalangan. Selepas perbincangan dengan Jabatan Perhilitan dan JKR akan pasang lampu jalan jenis LED.

“Yang ini, kita sudah beri peruntukan awal RM200,000 daripada permohonan RM2 juta dan tadi kita beri peruntukan tambahan RM650,000 supaya dapat tambah lampu di kawasan kritikal dahulu. Tahun depan dan tahun seterusnya insya-Allah kita akan cari lagi peruntukan agar keseluruhan peruntukan itu dapat kita penuhi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Jelajah FTRoadpedia Zon Selatan 2.0 di Jalan Johor, Taman Sri Lalang, di sini hari ini.

Sementara itu Fadillah berkata, laluan sepanjang 169.95 kilometer bermula dari Mersing hingga daerah Johor Bahru akan diselenggara secara ‘performance based contract’ (PBC) yang merupakan pendekatan baharu bersifat lebih holistik bagi kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan oleh pihak syarikat dilantik.

Menurutnya, PBC merupakan model penyelenggaraan yang lebih sistematik dan berkesan berbanding kontrak konvensional sedia ada yang bersandarkan pencapaian terhadap kerja siap berdasarkan skop kerja yang ditetapkan.

“PBC sekarang dalam tempoh percubaan di Johor dan akan diperluaskan di selatan Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Maknanya, projek jalan-jalan ini akan dinilai oleh JKR menerusi JKR negeri dan syarikat konsesi. Bagi zon selatan, konsesi Selia Selenggara. Apabila mereka laksanakan, maka jalan ini akan ditanggung oleh mereka dari segi waranti hingga tamat tempoh konsesi mereka dan ditambah lagi dua tahun sebagai tempoh jaminan kerja mereka.

“Sekarang tamat konsesi tiga tahun setengah dan perlu tambah lagi dua tahun. Jadi tempoh kena tanggung adalah lima tahun lebih yang mesti ditanggung Selia Selenggara untuk pastikan jalan dalam keadaan baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya