KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang memperuntukkan RM2.3 bilion bagi melaksanakan sebanyak 237 projek membaikpulih dan menaiktaraf loji rawatan air (LRA) serta kemudahan bekalan tersebut bermula tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelan itu antara jaminan kerajaan negeri menyelesaikan 90 peratus masalah bekalan air bersih menerusi projek membaikpulih dan menaiktaraf LRA, penggantian peralatan dan sistem bekalan ke kawasan perumahan dalam tempoh lima tahun ini.
“Sehingga kini, sebanyak 77 buah projek baharu serta menaiktaraf bekalan air sudah pun siap tahun ini, manakala 34 projek lagi dalam pembinaan dan beroperasi pada penghujung tahun ini dan selebihnya masih dalam peringkat reka bentuk untuk pelaksanaan menjelang tempoh tersebut.
“Projek yang sedang dan akan dilaksanakan ini membabitkan penyelesaian masalah terputus bekalan air seperti tekanan rendah, penurunan rizab margin loji, jaringan bekalan air baharu, kekerapan paip pecah dan penggantian peralatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri menerusi Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) juga akan melaksanakan projek pemasangan paip baharu pelbagai saiz sepanjang lebih 250 kilometer di beberapa kawasan terkesan di negeri ini yang agak kritikal, iaitu kekerapan berlaku paip pecah dan terputus bekalan air.
“Menerusi projek penambahbaikkan fasiliti dan juga pengurusan bekalan yang lebih efisyen, masalah bekalan air bersih di negeri ini akan selesai tidak lama lagi malahan kurang daripada tempoh jangkaan tersebut,” ujarnya.
Jelasnya, kerajaan negeri akur dengan masalah bekalan air yang dihadapi oleh penduduk di beberapa kawasan terkesan, tetapi amat prihatin serta endah dengan hal tersebut segera mengutamakan projek membaikpulih serta menaiktaraf sehingga keadaan kembali pulih.
“Sejujurnya, saya mengakui bahawa tetap ada ruang untuk memulihkan sistem bekalan air di negeri ini dengan menyediakan peruntukan yang mencukupi setiap tahun antara manifestasi kerajaan negeri untuk memenuhi keperluan kebajikan dan sosial rakyat,” ujarnya. – UTUSAN










