Richiamo Coffee sasar buka 35 outlet baharu tahun ini

Richiamo Coffee sasar buka 35 outlet baharu tahun ini

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) berkenan menandatangani plak perasmian outlet Richiamo Coffee ke-88 di kampus Unimap, Arau, Perlis hari ini. - FOTO/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Richiamo Coffee Sdn. Bhd (Richiamo Coffee) menyasarkan pembukaan sebanyak 35 outlet baharu di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

Pengarah Urusannya, Mohd. Zamry Abu Samah berkata, pada masa ini, sebanyak 115 buah outlet di seluruh negara yang telah beroperasi.

Katanya, kira-kira 20 buah outlet baharu sedang menjalani proses pengubahsuaian dan pihaknya optimis sasaran tersebut mampu dicapai menjelang hujung tahun ini.

“Permintaan pelanggan terhadap pasaran minuman berasaskan kopi di negara ini dilihat stabil dan mampu memberikan pulangan kepada pelabur.

“Faktor tersebut dilihat memacu pertumbuhan outlet Richiamo Coffee yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di negara ini setanding dengan jenama kopi ternama lain,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan zakat perniagaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di sini hari ini.

Richiamo Coffee menyampaikan zakat perniagaan bernilai RM200,000 kepada MAIPs dengan RM66,666.66 disalurkan kepada Unimap untuk diagihkan kepada pelajar daripada golongan asnaf di universiti itu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs berkenan menyaksikan majlis penyerahan sumbangan zakat itu.

Baginda turut berkenan menandatangani plak perasmian outlet ke-88 Richiamo Coffee yang mula beroperasi pada Mac lalu di Unimap selain menerima persembahan cenderamata kenangan serta melihat sendiri demonstrasi pencetak kopi.

Sementara itu, Mohd. Zamry berkata, agihan zakat perniagaan tersebut adalah hasil pendapatan syarikat bagi tahun 2021 bagi negeri Perlis.

“Agihan zakat perniagaan ini adalah amalan Richiamo Coffee setelah mengambil kira keuntungan bersih syarikat dan agihan zakat pendapatan dilakukan di setiap negeri mengikut pengiraan tertentu,” katanya.

Terdahulu baginda turut berkenan mengetuai program Kayuhan Peduli MAIPs disertai kira-kira 50 orang peserta termasuk ketua-ketua jabatan kerajaan negeri menyantuni asnaf tiga buah rumah asnaf sekitar Pauh dan Padang Siding. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya