PETALING JAYA: Resorts World Cruises berjaya mencatatkan lebih 40,000 tempahan tetamu sehingga hujung tahun ini untuk kapal pelayarannya yang berlepas dari Pelabuhan Klang dalam tempoh kurang sebulan memulakan operasi.
Penyedia perkhidmatan kapal persiaran tersebut mengumumkan operasi serantaunya di dua pelabuhan asal di Singapura dan Pelabuhan Klang pada 18 Julai lalu.
Presiden Resorts World Cruises, Michael Goh berkata, pakej kapal persiaran, Genting Dream untuk perjalanan pergi balik selama tiga malam dari Pelabuhan Klang ke Pulau Pinang dan Singapura serta pakej dua malam dari Pelabuhan Klang ke Singapura semakin mendapat perhatian pelancong yang berlepas dari Malaysia.
Katanya, pakej pelayaran selama tiga malam dari Pelabuhan Klang meliputi 50 peratus daripada tempahan tersebut.
“Kami gembira dengan sambutan yang menggalakkan dan positif daripada pasaran Malaysia dan melihat begitu ramai rakyat negara ini memilih untuk berlayar bersama kami dari Pelabuhan Klang.
“Dengan penambahan Pelabuhan Klang sebagai sebahagian daripada dwi pelabuhan kami, ramai rakyat Malaysia telah pun memanfaatkan kemudahan dan akses mudah untuk menerokai percutian pelayaran di Genting Dream,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, Selangor adalah negeri yang indah dan Pelabuhan Klang sendiri merupakan pelabuhan strategik yang membolehkan ramai rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa menerokai pelayaran sebagai pilihan percutian.
“Dengan Resorts World Cruises menerajui dalam memilih Pelabuhan Klang sebagai salah satu pelabuhan asalnya, ia akan terus memainkan peranan penting dalam menyumbang ke arah pertumbuhan kedua-dua sektor pelancongan pelayaran domestik dan serantau,”ujarnya.
Selain pelayaran tiga malam ke Pulau Pinang dan Singapura yang berlepas setiap Isnin, pelancong yang berlepas dari Pelabuhan Klang juga boleh memilih pelayaran dua malam pergi dan balik ke Singapura yang berlepas setiap Khamis dan Sabtu pada harga bermula dari RM599 setiap orang tertakluk pada terma dan syarat.
Selain itu, Resorts World Cruises juga akan menawarkan pelayaran sehala, alternatif kepada perjalanan udara dan darat untuk berjuta-juta pengembara antara Singapura dan Kuala Lumpur. – UTUSAN