RANTAU PANJANG: Seorang pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, di sini ‘terpaksa’ ponteng sekolah sejak Februari lalu bagi menjaga ibunya yang menghidap penyakit kemurungan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Raja Natasha Raja Ahmad Zulqahar, 16, berkata, dia terpaksa mengambil tindakan itu kerana bimbang keselamatan ibunya yang ditinggalkan bersendirian di rumah.
Menurutnya, setiap kali memikirkan keadaan ibu di rumah hatinya akan menjadi gelisah dan membuatkan dia hilang fokus sepanjang sesi pembelajaran di dalam kelas.
“Hati mana yang tidak risau bila memikirkan keselamatan ibu, hal ini kerana setiap kali diserangan kemurungan, ibu akan ke kawasan sungai berhampiran dengan rumah.
“Buat masa ini, ibu bergantung pada ubat tidur yang perlu telan dua kali sehari. Ibu mula mengalami kemurungan selepas terlibat dengan kemalangan langgar lari empat tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Bakong di sini semalam.
Raja Natasha memberitahu, kemalangan yang berlaku di Rantau Panjang itu hampir meragut nyawa ibunya.
Katanya, dia dan ibu bergantung sepenuhnya kepada pendapatan neneknya, Zaharah Che Will, 61, yang menjual buah-buahan dan petai untuk menyera keluarga.
“Apabila nenek keluar menjaja, saya terpaksa ponteng sekolah untuk menjaga ibu. Bila nenek tidak keluar menjaja, barulah saya ke sekolah, kalau kerap sangat nenek tidak bekerja, tiada wang untuk makan minum kami,” jelasnya.
Sementara itu Zaharah berkata, dia bersyukur apabila menerima bantuan bulan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.
Katanya, bagaimanapun wang tersebut tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka kerana anak perempuannya itu memerlukan rawatan susulan.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Raja Natasha Raja Ahmad Zulqahar di talian 014-2107602. – UTUSAN