LUBOK ANTU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakan ditemukan lemas dengan kesan luka di kepala di Sungai Nanga Entalau Lubok Antu pada pagi tadi.
Mayat Tay Xin Wei, 21, dijumpai kira –kira satu kilometer dari tempatnya dilaporkan hilang pada pukul 7.30 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Betong, Penolong Penguasa Bomba, Vincent Baling Yabi, berkata, pasukan bomba membantu mengangkat mayat mangsa ke dalam perahu sebelum di bawa ke pengkalan rumah panjang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Berikutan penemuan itu katanya, ops sar dihentikan sepenuhnya pada jam 9.00 pagi.
Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa difahamkan sempat mandi bersama rakan-rakannya sebelum dilaporkan hilang pada lokasi yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari Balai Bomba Betong itu.
Vincent berkata, rakan Xin Wei yang menyedari kejadian itu kemudiannya memberitahu majikan mangsa sebelum satu laporan dibuat di Balai Polis Sri Aman pada petang Isnin sebelum Ops SAR dilancarkan keesokan harinya. –UTUSAN