KUALA SELANGOR: Suasana di Bandar Puncak Alam Fasa 3 di sini, gempar apabila seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan rentung dalam sebuah tandas awam yang terbakar, hari ini.
Kebakaran itu disedari orang awam yang kemudian menghubungi pasukan bomba untuk tindakan lanjut.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 2.35 petang.
“Pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan sebuah tandas awam yang berada di kawasan lapang.
“Anggota bomba kemudian menemukan remaja lelaki itu yang disahkan sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Norazam, tandas itu terbakar sebanyak 20 peratus dan api dipadamkan dalam tempoh lima minit.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut. Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN