Rayuan Najib wajar tangguh hingga siasatan terhadap hakim selesai

Rayuan Najib wajar tangguh hingga siasatan terhadap hakim selesai – Peguam

HISYAM Teh Poh Teik bercakap kepada pemberita ketika perbicaraan rayuan bekas Perdana Menteri itu membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. di Mahkamah Persekutuan di sini.  UTUSAN/FARIZ RUSADIO 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak menghujahkan rayuan akhir bekas Perdana Menteri itu wajar ditangguhkan sehingga siasatan terhadap Hakim Bicara, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali selesai.

Peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik juga menyarankan, Mahkamah Persekutuan boleh meminta rekod siasatan dan melihat sendiri keterangan-keterangan yang diberikan oleh beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

“Seperti yang dijelaskan dalam afidavit pemohon (Najib) keterangan-keterangan ini mengandungi bukti material yang menunjukkan terdapat konflik kepentingan dan berat sebelah membabitkan Hakim Bicara dalam perbicaraan kes SRC.

“Oleh itu kami memohon agar permohonan ini dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai dan wajar oleh Mahkamah ini dibenarkan,”katanya.

Hakim Mohd. Nazlan adalah hakim bicara di peringkat Mahkamah Tinggi yang mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC International dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta pada 28 Julai 2020.

Hakim Mohd. Nazlan telah dilantik menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 4 Februari 2022.

Terdahulu, Hisyam memohon agar panel yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menerima masuk tujuh set bukti baharu termasuk membabitkan Hakim Mohd. Nazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan.

Jelasnya, bukti-bukti baharu itu wajar diterima masuk bagi memastikan keadilan dapat dilaksanakan.

Tambah peguam itu, wujud bahaya yang nyata kerana terdapat syak wasangka terhadap peranan Hakim Mohd. Nazlan ketika menjawat jawatan di Maybank sebagai kaunsel (general counsel).

Selain Hakim Tengku Maimun, panel turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Najib memohon untuk memasukkan dalam rayuan akhirnya, antaranya keterangan viva voce (lisan) pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Hussein berhubung siasatan skandal SRC International.

Keterangan itu adalah sama ada beliau (Rosli) menyedari peranan lalu dan pembabitan Mohd Nazlan sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank berhubung khidmat nasihat strategik yang diberikan oleh Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd (penasihat kewangan Maybank) kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi penubuhan SRC International.

Antaranya ia berhubung perkhidmatan nasihat strategik yang diberikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi penubuhan SRC pada tahun 2010/2011.

Ia juga berkaitan pinjaman RM140 juta yang diberikan oleh Maybank kepada Putra Perdana Development Berhad (anak syarikat 1MDB) pada tahun 2014 iaitu sumber RM42 juta yang menjadi perkara utama dalam pertuduhan yang dikenakan ke atas Najib.

Bukti tambahan lain ialah keterangan lisan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berhubung perananannya ketika menjadi CEO 1MDB dalam urusan dan pelantikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd serta pegawainya berkaitan khidmat nasihat strategik dalam penubuhan SRC International pada tahun 2010/2011.

Prosiding ditangguhkan sementara dan akan bersambung pukul 2 petang ini dengan hujahan balas oleh pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya