Rasuah: Pegawai anak syarikat Selangor mengaku tak salah

Projek RM1.8 juta: Pegawai anak syarikat Selangor mengaku tak salah

MAZLAN Mahadi dibawa ke Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan dalam anak syarikat kerajaan negeri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini,atas dakwaan menyalahgunakan kedudukan bagi menganugerahkan kontrak bernilai RM1.8 juta secara terus kepada syarikat lain.

Tertuduh, Mazlan Mahadi yang bertugas sebagai Pengarah Pembangunan Perniagaan di syarikat Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) Innovations Sdn. Bhd. membuat pengakuan demikian di hadapan Hakim Rozilah Salleh selepas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, beliau didakwa menyalahgunakan kedudukan dengan mencadangkan lantikan terus dibuat kepada MMSC Ventures Sdn. Bhd. bagi kontrak Perkhidmatan Mereka, Membangun, Melaksana dan Menyelenggara The AWS Landing Zone yang mana syarikat tersebut milik saudaranya.

Mazlan didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 25 Mac 2020 dekat pejabatnya di Petaling, justeru beliau dituduh di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, bapa kepada dua anak itu boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras menawarkan ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, iaitu lapor diri di pejabat SPRM berdekatan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM20,000 memandangkan anak guamnya tidak ada masalah untuk hadir setiap kali perbicaraan.

“Sejak siasatan dibuat pada Jun tahun lalu, tertuduh memang komited hadir ke pejabat SPRM setiap kali dipanggil. Walaupun kes ini bukanlah kesalahan yang boleh dijamin, pihak pembelaan memohon jaminan sebanyak RM20,000 dibenarkan kepada tertuduh,” katanya.

Hakim Rozilah membenarkan Mazlan diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin dan melapor diri di Pejabat SPRM Selangor setiap awal bulan dan menyerahkan pasport untuk simpanan tambahan selepas mengambil kira tertuduh tidak diikat jamin.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 30 September ini untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya