KUALA LUMPUR: Rakan kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali memberitahu dia menyebarkan beberapa rakaman video remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella kepada individu lain bagi mendapatkan sokongan emosi.
Pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin, 39, ketika memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini juga mengakui pada mulanya dia merakam video itu sebagai bahan bukti untuk diberikan kepada individu bernama Syed Azmi.
Nurul Hafidzah: Setuju dengan saya rakaman video yang puan ambil semata-mata nak bagi pada Syed Azmi?
Zurianty: Pada asalnya, ya.
Nurul Hafidzah: Setuju dengan saya, pada awalnya puan nak hantar pada Syed Azmi sahaja tapi kemudian ramai dapat video itu daripada puan?
Zurianty: Setuju.
Nurul Hafidzah: Kenapa kamu perlu hantar kepada mereka?
Zurianty: Tujuan saya hantar berbeza-beza, saya lalui pengalaman yang amat traumatik ketika jumpa Bella. Saya hubungi mereka kerana saya mahukan sokongan emosi dan hendak tahu apa yang perlu saya buat. Saya ‘blank’ lepas jumpa Bella tapi saya tahu saya perlu bertindak bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, Zurianty menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang niat jahat atau sebab lain untuk menyebarkan video itu.
Sementara itu ketika ditanya oleh peguam bela, Datuk Farhan Maarof, saksi pendakwaan pertama itu memberitahu tujuan dia menghubungi Syed Azmi kerana lelaki itu merupakan penasihat Rumah Bonda serta merupakan aktivis kanak-kanak.
“Dia memperjuangkan hak kanak-kanak dan dia kenal rapat Siti Bainun dan diri saya sendiri,” katanya.
Zurianty berkata demikian ketika dipanggil semula untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes Siti Bainun, 30, yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Siti Bainun dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada April lalu, Zurianty dalam keterangannya sebelum ini mengakui bahawa dia merupakan individu yang merakam video Bella yang memaparkan kecederaan pada badan remaja itu ketika ditemui di sebuah kondominium pada Jun tahun lepas.
Bagaimanapun, Zurianty yang merupakan pengadu kes itu menafikan rakaman video yang diambilnya telah dibocorkan atau disebarkan di media sosial untuk mendapat perhatian umum.
Sementara itu, semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas, saksi itu mengetahui dua video berdurasi enam minit dan 45 saat yang dirakamnya telah digunakan untuk kes ini.
Saksi itu juga mengecam sebuah telefon bimbit warna merah yang digunakan olehnya untuk merakam video tersebut.
Zilfinaz: Bagaimana puan boleh cam telefon bimbit itu milik puan?
Zurianty: Ada gambar wallpaper saya dan suami.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi 14 September ini. – UTUSAN