KUALA LUMPUR: Seorang timbalan pendakwa raya kanan tidak perlu dipanggil sebagai saksi pada prosiding menghina mahkamah terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang didakwa mengeluarkan kata-kata tidak wajar kepada seorang anggota polis.
Prosiding itu akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 3 Ogos ini.
Ketetapan itu dicapai oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas mengetepikan sapina yang sebelum ini dikeluarkan kepada Datuk Raja Rozela Raja Toran pada 26 Julai lalu.
Beliau berpuas hati bahawa Raja Rozela hanya membantu sebagai pegawai mahkamah, bukan bertindak sebagai saksi yang material pada prosiding menghina mahkamah terhadap Lokman.
Hakim Collin berpendapat, kata-kata yang didakwa menghina itu tidak diucapkan di hadapan Raja Rozela sebaliknya maklumat itu disampaikan kepadanya ketika mahkamah bersidang.
Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati tiada asas terhadap dakwaan bahawa Raja Rozela telah mengelirukan atau berbohong kepada mahkamah.
Hakim Collin turut menolak permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam agar kos dibayar secara peribadi oleh peguam, K. Balaguru yang mewakili Lokman.
Terdahulu, Mohamad Mustaffa memohon agar sapina itu diketepikan atas alasan Raja Rozela bukan saksi yang material pada prosiding menghina mahkamah terhadap Lokman.
Hujah beliau, sapina itu bertujuan untuk merendah-rendahkan dan memalukan timbalan pendakwa raya yang menjalankan tugas di mahkamah.
Beliau berhujah, pihak pembelaan sepatutnya memanggil anggota polis berkenaan memberi keterangan pada prosiding tersebut.
Bagaimanapun Balaguru berhujah, beliau hanya memohon sapina dikeluarkan terhadap Raja Rozela bagi membantu mahkamah kerana kata-kata yang didakwa menghina itu disampaikan kepadanya.
Pada 8 Julai lalu, media melaporkan bahawa Lokman memilih untuk dibicarakan dalam prosiding menghina mahkamah berhubung dakwaan mengeluarkan kata-kata tidak wajar terhadap anggota polis dan mempersoalkan sistem mahkamah yang dikatakan tidak adil kepadanya.
Balaguru ketika itu memaklumkan, beliau menasihatkan Lokman mengapa beliau perlu meminta maaf kerana tidak melakukan apa-apa kesalahan seperti yang didakwa dilakukannya.
Balaguru menjelaskan, anak guamnya tidak memanggil anggota polis mahkamah Lans Koperal Walter Lee Yun Fui ‘bodoh’ seperti yang dimaklumkan oleh Raja Rozela pada 30 Jun lalu, sebaliknya menyatakan prosedur operasi standard (SOP) mahkamah bodoh kerana bersikap tidak adil kepadanya.
Pada 30 Jun lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Lokman agar beliau menjelaskan mengapa tindakan menghina mahkamah tidak boleh dikenakan terhadapnya kerana menghalang tugas anggota polis pada perbicaraan kes Ahmad Zahid.
Hakim Collin menetapkan demikian berikutan aduan yang dibangkitkan oleh Raja Rozela ketika perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Presiden UMNO. – UTUSAN