MERSING: Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad menyerahkan kepada pihak kepimpinan parti untuk menentukan sama ada beliau akan dicalonkan semula atau tidak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) mengakui tidak mempunyai kuasa untuk menentukan perkara itu.
“(Bertanding) PRU15 bukan saya punya kuasa, selama ini pun bukan kuasa saya yang tentukan (tetapi) parti. Soalan kena tanya Presiden parti,” jawabnya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penutupan Latihan Kemahiran Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) di Pantai Air Papan di sini hari ini.
Dr. Abd Latiff memegang jawatan sebagai wakil rakyat di kawasan itu selama lima penggal selepas memenangi kerusi berkenaan ketika bersama UMNO di bawah tiket Barisan Nasional (BN).
Beliau menang dengan mendapat 19,806 undi menewaskan calon Pakatan Harapan, Md. Nasir Hashim yang memperoleh 11,347 undi pada PRU14 lalu.
Namun, keluar daripada UMNO pada Disember 2018 dan kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersati) pada Februari 2019. – UTUSAN