PRN Johor a successful failure - Hasni

PRN Johor satu kegagalan dalam kejayaan bagi Hasni

HASNI MOHAMMAD (tengah) beramah mesra dengan ahli UMNO Bahagian Tebrau di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad menyifatkan perjalanan karier politik beliau, khususnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu sebagai satu kegagalan dalam kejayaan ataupun a successful failure.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu berkata, walaupun berjaya memimpin UMNO dan BN melakar kejayaan besar dalam PRN Johor sehingga layak mentadbir negeri, namun beliau gagal meneruskan tugas sebagai menjadi Menteri Besar.

“Dulu saya ada menonton filem Apollo 13, tentang Amerika Syarikat menghantar sepasukan angkasawan ke bulan. Misi tersebut gagal dan mereka terpaksa pulang ke bumi. Komander misi berkenaan kata rumusan misi itu adalah satu misi yang digambarkan sebagai a successful failure.

“Begitulah perasaan saya di Johor ini, berjaya memenangkan Johor tetapi gagal nak meneruskan tugas sebagai Menteri Besar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Dalam Bahagian Tebrau di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, di sini malam tadi.

Yang hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Setiausaha Kerja UMNO Johor, Pandak Ahmad.

Pada PRN Johor lalu, Hasni yang mengetuai BN Johor menubuhkan kerajaan negeri baharu bagaimanapun tidak dilantik sebagai Menteri Besar, sebaliknya jawatan itu diserah kepada ADUN Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Namun, menurut bekas Menteri Besar Johor itu, perkara tersebut tidak menjadi isu bagi dirinya kerana mencapai pelbagai kejayaan termasuk memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN berkenaan.

“Kita berjaya bubar DUN, kita berjaya desak Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan PRN dengan segera dan kita berjaya meyakinkan pengundi-pengundi untuk kembali kepada UMNO dan BN.

“Kegagalan meneruskan jawatan Menteri Besar, itu sebagai satu kegagalan dalam sejarah hidup saya secara peribadi, bukan sejarah UMNO, kerana UMNO terus berada di landasan sepatutnya.

“UMNO terus bekerjasama dengan Institusi Diraja, bekerjasama dalam membentuk sebuah kerajaan yang kuat, hari ini dipimpin oleh barisan kepimpinan muda yang harus diberi ruang dan peluang untuk terus menonjolkan kebolehan dan kepimpinan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Hasni sempat berseloroh dengan berteka teki tentang masa depan politiknya sama ada beliau akan dicalonkan bagi kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau tidak.

“Pontian ini, tempat Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Ahmad Maslan), Ketua Bahagian dia Pengerusi Perhubungan UMNO (Hasni), katanya nak diberi peluang bertanding Parlimen, macam mana agaknya.

“Tetapi tidak mengapa, itu rahsia orang Pontian, tetapi sesiapa juga saya percaya boleh menang di kerusi itu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN