PETALING JAYA: Populasi gajah di Malaysia ketika ini dianggarkan antara 1,220 hingga 1,680 ekor.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, taburan populasi haiwan liar yang terancam itu direkodkan di tujuh negeri iaitu Kedah, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Katanya, di Malaysia, gajah Asia atau nama saintifiknya Elephas maximus mempunyai dua sub-spesis iaitu Elephas maximus indicus yang terdapat di Semenanjung Malaysia manakala Elephas maximus borneensis (gajah Pygmy) di Sabah.
“Di peringkat antarabangsa, Malaysia serius dalam melaksanakan tindakan di bawah National Ivory Action Plan (NIAP) sebagai komitmen untuk membanteras rangkaian perdagangan haram gading gajah.
“Berdasarkan laporan Elephant Trade Information System (ETIS) 2022, Malaysia berada dalam Kategori B iaitu kedudukan yang lebih baik berbanding pada 2019 apabila dikelaskan sebagai negara Kategori A,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini sempena Hari Gajah Sedunia.
Hari Gajah Sedunia disambut pada 12 Ogos setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dunia tentang kepentingan pemuliharaan dan perlindungan spesis gajah di samping ancaman yang dihadapi.
Gajah merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) di Semenanjung Malaysia dan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 di Sabah, di samping tidak boleh diimport dan dieksport kecuali untuk tujuan penyelidikan atau pertukaran zoo.
Takiyuddin berkata, pihaknya melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memandang serius keperluan untuk memastikan kelangsungan hidup gajah sekali gus komited dalam mempergiatkan usaha konservasi gajah dan habitatnya.
Katanya, antara tindakan yang diambil termasuk mengukuhkan keberkesanan perundangan dengan meminda Akta 716 dan melaksanakan penguatkuasaan bersepadu bagi membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta perburuan hidupan liar.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 3,325 aduan konflik manusia dan gajah dilaporkan sejak 2015 hingga 2021.
“Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 435 aduan sama dilaporkan, malah pelbagai usaha dilaksanakan Perhilitan bagi menangani konflik manusia dan gajah termasuk menubuhkan pusat konservasi gajah di Pahang, Terengganu serta Johor.
“Di samping itu, kita juga menjalankan program pemantauan pergerakan kumpulan gajah secara pemasangan kolar satelit; membangunkan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG); memasang papan tanda amaran dan menjalankan program kesedaran awam,” katanya. – UTUSAN