PM deklamasi puisi Keluarga Malaysia sempena Jelajah Puisi Merdeka

PM deklamasi puisi Keluarga Malaysia sempena Jelajah Puisi Merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PUTRAJAYA: Buat julung kali, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob muncul  pada acara kemuncak Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia 2022 di ibu negara malam ini.

Menurut jurucakap Persatuan Penyair Malaysia (Penyair), beliau turut dijangka tampil khas bagi mendeklamasikan puisi bertajuk Keluarga Malaysia hasil daripada nukilan dirinya sendiri.

“Persembahan istimewa tersebut akan disusuli dengan beliau kemudian bakal melancarkan pula koleksi Lagu Puisi Keluarga Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Program jerayawara itu dianjurkan bersama oleh pihak Penyair dengan kerjasama Institut Kepimpinan Kamarzaman (IKK), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Hotel Royale Chulan.

Siri pertama jelajah tersebut bermula di Universiti Putra Malaysia pada 8 Ogos lepas, diikuti Universiti Malaysia Perlis (13 Ogos) dan terbaharu di Universiti Malaysia Sarawak (20 Ogos).

Penutup program berkenaan pula ujarnya, akan berlangsung Universiti Malaysia Sabah pada 14 September depan iaitu genap dua hari menjelang tarikh sambutan Hari Malaysia 2022.

Kali terakhir Ismail Sabri mendeklamasikan puisi ialah pada 2016 bertajuk Wahai Anak dalam program Bintang Berpuisi II anjuran Utusan Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau yang ketika itu merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut memuji usaha institusi tersebut dan akhbar berkenaan dalam memperjuangkan Bahasa Kebangsaan.

Untuk kemuncak jelajah pada malam ini, hadirin akan dipersembahkan trio puisi pembukaan oleh Razali Mohd.Yusof, Dr. Jessica Ong Hai Liaw dan Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman.

“Ini disusuli dengan deklamasi puisi pertama oleh Presiden Penyair, Datuk Rahman Shaari sendiri yang baru diumumkan sebagai Sasterawan Negara Ke-15 pada 22 Jun lalu,” jelasnya.

Tidak ketinggalan ialah persembahan lima puisi yang dideklamasikan antaranya oleh Kamarazaman Yacob, Aya Rohaiyah, Razali Mohd. Yussof di samping Jessica dan Raja Rajeswari.

Hadirin juga dapat mengikuti puisi disampaikan oleh penyanyi wanita genre alternatif pertama tanah air, Normah Muhammad atau ABOT yang akan bergandingan dengan Ahmad Ramli.

Tiga penuntut dari pelbagai jurusan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di ibu negara mengakhiri sesi deklamasi tersebut dengan puisi bertajuk Putera Lubok Kawah.

Acara malam ini ditutup dengan semua hadirin bersama-sama menyanyikan lagu patriotik malar segar ‘Tanggal 31 Ogos’ yang pernah dipopularkan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Penyair ujarnya, berharap dengan penganjuran siri program tersebut akan terus dapat lagi memartabatkan status kesusasteraan dan Bahasa Melayu bersempena Bulan Kebangsaan. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya