SHAH ALAM: Pusat beli-belah, Plaza Shah Alam di Seksyen 9 di sini, kembali aktif menganjurkan program dalaman seperti Pertandingan Pencarian Wanita Melayu (PWM) 2022 pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengekang pandemik Covid-19.
Menurut Pengurus Kanannya, Azura Mokhtar, Plaza Shah Alam seperti pusat komersial lain pihaknya kembali mengadakan program sedemikian selepas semua pusat beli-belah terkesan dari segi aktiviti perniagaan semasa pandemik Covid-19 bermula awal 2020 hingga peralihan pandemik kepada endemik April lalu.
“Plaza Shah Alam selain rancak dengan aktiviti perniagaan kembali menganjurkan program PWM yang merupakan program dalaman paling dinantikan oleh peserta dalam kalangan jelitawan Melayu.
“Alhamdullillah kita sudah selesai mengadakan peringkat separuh akhir hari ini dan peringkat akhir 13 Ogos ini,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah PWM 2022 dan Pengumuman 10 Peserta Peringkat Akhir.
Azura berkata, pengacara pertandingan tersebut adalah Fahrin Ahmad dan juri adalah beliau sendiri, pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Faizal Abdul Hamid, pelakon terkenal, Vanida Imran dan Pembantu Editor Majalah Nona,Kiffy Razak.
Katanya lagi, penganjuran PWM 2022 diharap terus menyemarakkan industri seperti fesyen, alat solek, pengurusan acara dan perniagaan barang kemas yang turut menaja hadiah kepada pemenang.
“PWM sudah menjadi program yang trending di media sosial pada peringkat awal, separuh akhir dan kita berharap peringkat akhir lebih ramai yang menonton,”katanya.
Jelasnya lagi, penganjuran PWM bermula pada 2014, lima Ikon Wanita Melayu telah diangkat iaitu Ashira Kaseh (2014), Ayu Harris (2015), Hazwani Zaini (2016), Nurul Ain Nasiron (2017), Amy Nurtinie (2018) dan Aini Sophie (2019).
Beliau menambah, penaja utama PWM adalah Habib dan Ice-Watch. – UTUSAN