PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengakui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) banyak mengundang kemarahan rakyat, namun program itu juga akhirnya membantu negara keluar daripada kesan teruk pandemik.
Beliau berkata, kejayaan Malaysia keluar daripada pandemik didorong pelaksanaan PICK sehingga negara dinobat antara negara terbaik di dunia yang berjaya pulih dengan cepat daripada Covid-19.
“Saya sedar ramai yang marah kerana bertegas dalam isu vaksinasi, namun PICK itulah menjadi faktor membawa negara keluar daripada situasi rumit disebabkan Covid-19.
“Kajian dibuat Institut Penyelidikan Klinikal di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan bahawa program vaksinasi ini berjaya menyelamatkan tidak kurang daripada 17,000 nyawa.
“Sebab itu kita yakin apabila varian Omicron datang pada Januari dan Februari lalu, menjelang Mac saya ambil keputusan selepas membuat penilaian risiko dengan memberi nasihat kepada Perdana Menteri iaitu pada 1 April boleh diumumkan sebagai tarikh bersejarah dalam perjuangan kita menentang pandemik, iaitu buka sempadan dan kita beralih ke fasa peralihan ke endemik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Berkongsi pengalamannya selepas dilantik menerajui KKM, Khairy berkata, beliau tidak memiliki latar belakang dalam bidang kesihatan, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melihat beliau mampu menggalas tugas itu selain mempunyai pandangan luas untuk melawan pandemik.
“Saya melihat pendekatan ketika itu adalah lebih membendung, jadi saya mengarahkan KKM untuk kita melihat bukan hanya selamatkan nyawa, tetapi pada masa sama kita dapat pelihara kehidupan rakyat.
“Kita jangan hanya fokus kepada langkah seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semata-mata kerana kita sudah mempunyai senjata ampuh iaitu vaksinasi,” katanya.
Katanya, kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri juga dilihat berjaya menstabilkan kerajaan menerusi kelulusan pelbagai rang undang-undang (RUU) di Parlimen yang tidak pernah dicapai sebelum ini.
“Dalam tempoh satu tahun ini, kerajaan yang dianggap sebagai kerajaan sementara ini, sebenarnya berjaya mencapai perkara yang sukar dicapai sebelum ini seperti RUU yang sangat susah nak dilaksanakan, dapat diluluskan dalam tempoh 12 bulan sahaja.
“Dalam isu kesihatan pula, apabila kita cakap mahu wujudkan negara bebas asap rokok di Malaysia, Perdana Menteri terus menyatakan persetujuan,” katanya. – UTUSAN