KUALA LUMPUR: Selepas dihimpit pelbagai kontroversi, Noh Salleh menganggap, persembahannya pada Konsert 3 Generasi sebagai pengubat segala kedukaan yang dipendamnya, kebelakangan ini.
“Banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya, kebelakangan ini dan persembahan ini menjadi pengubat duka saya,” katanya ketika membuat persembahan pada konsert tersebut.
Selain Noh, 37, turut membuat persembahan pada konsert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi adalah kumpulan Spider dan XPDC.
Konsert 3 Generasi dihadiri lebih 3,000 peminat yang sekian lama menanti tiga nama besar itu bergabung di atas pentas yang sama.
Empunya nama sebenar Mohammad Noh Salleh itu juga mengakui, dirinya merupakan peminat band Jepun yang sering membuat persembahan di dewan yang terkenal di negara itu.
“Sejak kecil, saya menyimpan impian untuk membuat persembahan di Zepp yang terkenal di Jepun.
“Saya berbesar hati dan tidak menyangka hasrat itu menjadi kenyataan apabila Zepp dibuka di Malaysia,” tambahnya.