KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 30 Ogos ini bagi memutuskan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah projek solar.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid juga akan memutuskan sama ada membenarkan atau menolak bantahan awal yang dibangkitkan oleh pihak responden terhadap permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jika bantahan awal tersebut dibenarkan, Rosmah tidak berpeluang untuk meneruskan permohonan semakan kehakiman dan jika bantahan awal ditolak, mahkamah akan mendengar merit permohonannya.
Mahkamah sebelum itu mendengar penghujahan panjang lebar peguam-peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah serta Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bagi pihak Kerajaan Malaysia dan Sri Ram yang mewakili dirinya selaku responden.
Shamsul ketika mengemukakan bantahan awal berhujah, permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu perlu ditolak kerana ia difailkan di luar tempoh yang ditetapkan.
Hujah beliau, undang-undang memperuntukkan semakan kehakiman perlu difailkan dalam tempoh tiga bulan daripada isu berhubung pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan, dibangkitkan.
Bagaimanapun Shamsul menghujahkan, permohonan hanya difailkan pada 24 Jun 2022 walhal Rosmah didakwa kali pertama pada 15 November 2018, kelewatan selama kira-kira tiga tahun 10 bulan.
Responden berhujah, Rosmah mengambil pendirian dengan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Jenayah terlebih dahulu bagi mencabar pelantikan Sri Ram sebelum Mahkamah Persekutuan pada 27 Mei lalu memutuskan relif yang sesuai difailkan adalah melalui permohonan sivil.
“Permohonan sivil ini bertujuan untuk menyemak keputusan Mahkamah Tinggi Jenayah walhal perbicaraan telah selesai dan keputusan akhir kes pembelaan dijadualkan diumumkan pada 1 September ini.
“Ia wajar ditolak kerana dilihat mencampuri urusan pentadbiran mahkamah jenayah dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah,” ujar Shamsul.
Sementara itu, Sri Ram turut mengguna pakai hujah Shamsul dan menambah bahawa permohonan itu remeh dan menyusahkan kerana ada penghakiman yang menyatakan bahawa pelantikan beliau sah.
“Mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan semakan kehakiman kerana ia bertujuan mencabar isu melalui permohonan sivil sedangkan ia telah diputuskan oleh mahkamah jenayah,” ujar beliau.
Sementara itu, Akberdin berhujah agar permohonan Rosmah dibenarkan kerana anak guamnya mempunyai kes untuk dibangkitkan dalam semakan kehakiman atas alasan pelantikan Sri Ram tidak sempurna.
Jagjit pula menghujahkan, permohonan itu bukan difailkan melebihi tempoh kerana isu bagi mencabar pelantikan Sri Ram di mahkamah sivil dibangkitkan oleh Mahkamah Persekutuan ketika menyampaikan keputusan pada 27 Mei lalu iaitu masih dalam tempoh tiga bulan yang diperuntukkan undang-undang.
Rosmah memohon kebenaran mencabar pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah membabitkan projek hibrid solar yang dihadapinya dan memohon perbicaraan penuh kes itu berlangsung sejak 2018 terbatal dan tidak sah.
Rosmah, 70, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.
Sebelum ini, Rosmah memfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi Jenayah namun ditolak manakala rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, juga tidak dibenarkan.
Dalam permohonan terbarunya, Rosmah memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat), masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021 adalah salah di sisi undang-undang.
Beliau memohon pengisytiharan fiat versi pertama yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pada 8 Julai 2020 yang sepatutnya ditandatangani Peguam Negara terdahulu, Tan Sri Tommy Thomas pada atau sebelum 15 November 2018, iaitu tarikh pendakwaan ke atas pemohon adalah tidak sah di sisi undang-undang.
Pemohon memohon deklarasi bahawa fiat versi kedua bertarikh 11 Mei 2021 adalah tidak wujud memandangkan Thomas di dalam bukunya – ‘My Story: Justice in Wilderness’ yang diterbitkan pada 2021 menyatakan pelantikan Sri Ram adalah berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukannya kes solar, selain memohon deklarasi bahawa pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu melalui fiat versi ketiga adalah cacat.
Selain itu, Rosmah memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh bagi kes solar yang berlangsung sejak 15 November 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah dan terbatal.
“Oleh itu, saya selaku orang kena tuduh (OKT) perlu dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan dihadapi mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dalam kes solar itu,” katanya.
Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk menyediakan tenaga hibrid solar di 369 sekolah di luar bandar Sarawak. –UTUSAN ONLINE