"Pemohon ada peluang untuk mempertahankan kedudukannya jika

Permohonan batal pertuduhan ditolak, Rozman dibicara di Mahkamah Sesyen

ROZMAN ISLI hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan permohonan untuk membatalkan pertuduhan rasuah.-UTUSAN/AFIQ RAZALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan terhadap Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli didengar di Mahkamah Sesyen di sini selepas permohonan beliau untuk membatalkan pertuduhan rasuah, ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menolak permohonan Rozman selepas berpuas hati pertuduhan yang dikenakan terhadapnya tidak cacat dan sah di sisi undang-undang.

Dengan ketetapan itu, perbicaraan hari pertama yang sepatutnya didengar hari ini dan esok, diteruskan di hadapan Hakim Rozina Ayob seperti yang telah dijadualkan sebelum ini.

Ketika membacakan keputusannya Roz Mawar menyatakan, Rozman selaku pemohon mahukan pertuduhan digugurkan atas alasan pendakwaan itu bermotifkan politik, berniat jahat (mala fide) dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Rozman dalam afidavit sokongannya menyatakan, pertuduhan semata-mata bermotif politik untuk terus mengugutnya meninggalkan Parti Warisan Sabah dan selanjutnya menyokong Kerajaan Persekutuan di dalam keadaan yang amat rapuh dengan majotiti tipis di Dewan Rakyat.

Pada hemat hakim itu, jika motif berunsur politik untuk mendakwa itu satu pembelaan kepada pertuduhan atau ada kena-mengena dengan kredibiliti saksi, pemohon ada peluang untuk menunjukkan sedemikian atau menyangkal kes pendakwaan.

“Pemohon ada peluang untuk mempertahankan kedudukannya jika tidak bersalah,” ujar Roz Mawar ketika menyampaikan keputusannya.

Oleh yang demikian, Roz Mawar berpendapat adalah pra matang untuk membatalkan pertuduhan pada peringkat ini.

“Hakim bicara akan memutuskan sama ada pertuduhan berjaya atau gagal dibuktikan terhadap pemohon setelah mendengar saksi dan keterangan yang dikemukakan,” ujar beliau.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Rozman selaku pemohon.

Rozman mengemukakan permohonan untuk membatalkan pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya selaku pegawai badan awam untuk mendapatkan suapan semasa beliau berjawatan Timbalan Pengerusi di Lembaga Pelaburan Labuan.

Dalam keputusannya, Roz Mawar turut menyatakan, salah satu daripada alasan bagi permohonan itu dinyatakan di dalam perenggan 13 afidavit sokongan pemohon adalah keputusan dibuat secara kolektif dan pemohon bergantung kepada beberapa minit mesyuarat.

Mahkamah juga berpendapat, pendakwa raya telah melaksanakan budi bicara berlandaskan kepada ujian undang-undang dan bukti keterangan sebelum mengemukakan izin untuk mendakwa.

“Cerita politik pemohon adalah lain dan berasingan daripada bukti hasil siasatan yang menyebabkan pertuduhan itu,” ujar beliau.

Beliau kemudian memetik satu penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes pada tahun 2019 bahawa perayu tidak dinafikan hak untuk menyoal balas saksi-saksi pendakwaan dan sekiranya siasatan itu tidak bermutu atau tidak lengkap, ini akan dibuktikan pada akhir kes pendakwaan.

Penghakiman Mahkamah Rayuan itu turut menyatakan, jika perayu adalah mangsa pendakwaan terpilih, ia juga akan dibuktikan melalui keterangan semasa perbicaraan.

“Kuasa yang sedia ada mahkamah tidaklah seluas yang disangka dan penggunaannya hendaklah dibuat secara bijaksana dalam keadaan keadaan yang istimewa. Oleh yang demikian, Mahkamah ini tidak boleh membenarkan permohonan ini,” ujar Roz Mawar.

Pada 14 Oktober 2021, Rozman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya