Perlu polisi baharu selesai isu rumah generasi kedua Felda

Perlu polisi baharu selesai isu rumah generasi kedua Felda

SAARANI Mohamad pada Program Mesra Bersama Peneroka Felda Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Satu polisi baharu perlu diwujudkan bagi menyelesaikan kemelut perumahan generasi kedua yang dihadapi peneroka Felda di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, satu pertemuan bersama Ketua Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri  dan Felda perlu diadakan dalam mencari penyelesaian bersama.

Menurutnya,  isu perumahan generasi kedua Felda telah lama berlaku  ekoran terikat dengan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967 yang perlu disemak semula.

“Peruntukan dalam GSA menetapkan hanya sebuah rumah boleh dibina dalam satu plot tapak.

“Di kampung tradisional, keliling rumah ibu bapa ada rumah anak-anak boleh dibina tetapi keadaan ini berbeza di penempatan Felda tidak boleh dibuat begitu kerana terikat dengan GSA.

“Jadi untuk membolehkan pembinaan rumah generasi kedua, kena ada satu polisi yang memerlukan kerjasama dan persefahaman antara kerajaan negeri, Ketua Pengarah PTG Perak dan Felda,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Program Mesra  Bersama Peneroka Felda Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan di sini hari ini.

Saarani berkata, kerajaan negeri akan memanggil PTG untuk berbincang mengenai pindaan dan semakan GSA terbabit.

Beliau berkata, buat masa ini terdapat 17 tanah rancangan Felda di Perak dan terdapat permintaan agar rumah generasi kedua dapat dibina di tapak sama.

“Kita punya masalah kerana semua kawasan Felda ini adalah di bawah GSA dan gerannya dipanggil geran berangkai antara tapak rumah dengan kebun. 

“Jadi saya bincang dengan Felda untuk panggil semula JKPTG, semak GSA sama ada boleh dibatalkan.

“Selepas itu geran antara tapak rumah dan kebun itu boleh dirungkaikan untuk membenarkan rumah kedua dibina di tapak sama,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya