Perjelas dasar, kejayaan kerajaan elak rakyat dikelirukan

Perjelas dasar, kejayaan kerajaan elak rakyat dikelirukan fitnah – PM

ISMAIL SABRI Yaakob (tengah) hadir pada Program Jom Masuk Kampung dan Hari Potensi Kemas Daerah Bera 2022 di Felda Triang 3 di Bera, Pahang. - AZIZAH SHAFIEI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dasar kerajaan dan kejayaan pelaksanaannya perlu dijelaskan supaya rakyat tidak keliru dengan fitnah dan kempen anti kerajaan. 

Perdana Menteri berkata, penjelasan itu perlu dipertingkatkan supaya rakyat mendapat maklumat tepat.

Beliau berkata, program seperti Jom Masuk Kampung antara platform terbaik untuk menjelaskan kepada rakyat dasar kerajaan, selain mampu merapatkan silaturahim penduduk selari aspirasi Keluarga Malaysia.

“Banyak dasar diumumkan kerajaan dan kejayaan dicapai, tetapi apabila ia tidak dijelaskan, rakyat keliru terutamanya apabila ada kempen anti kerajaan atau pelbagai fitnah (terhadap kerajaan).

“Ini boleh menyebabkan rakyat keliru dan mereka tidak boleh dipersalahkan apabila keliru kerana informasi tidak sampai kepada mereka,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jom Masuk Kampung dan Hari Potensi Kemas Daerah Bera 2022 di Felda Triang 3 di sini hari ini.

Program tiga hari bermula pada 18 Ogos lalu, antara lain melibatkan penganjuran pelbagai aktiviti melibatkan penyertaan agensi kerajaan dan masyarakat setempat, seperti hebahan program kerajaan, gotong-royong, ceramah agama, pertandingan sukan dan ziarah kasih.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) merupakan antara kisah kejayaan kerajaan kerana ramai yang berjaya hari ini, termasuk pemimpin mula mendapat pendidikan awal di pusat bimbingan tersebut.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa menyokong pembangunan pendidikan Tabika Kemas, bagi memastikan kanak-kanak di situ dapat belajar dalam situasi yang selesa.

Sebagai contoh, katanya, peruntukan khas bagi Program Bantuan Makanan Tambahan (PMBT) kepada kanak-kanak tabika dan taska Kemas seluruh negara, yang mana RM140 juta disediakan pada tahun ini, untuk dimanfaatkan 225,281 murid tabika dan 9,716 kanak-kanak taska.

“Kemas merupakan salah satu cerita kejayaan kerajaan. Ramai yang berjaya pada hari ini… yang menjadi pemimpin pada asalnya mendapat pendidikan awal di Tabika Kemas terutamanya mereka yang berasal dari luar bandar,” katanya.UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya