Perhilitan pasang 'Pak Wahab' tangkap harimau di Jeli -

Perhilitan pasang ‘Pak Wahab’ tangkap harimau di Jeli

Mohd. Hafid Rohani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Perlin­dungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan sudah memasang perangkap ‘Wahab’ bagi menangkap seekor harimau belang yang telah muncul di Kampung Baru Malaysia, Jeli di sini sejak 3 Ogos lalu.

Pengarahnya Mohd. Hafid Rohani berkata, susulan itu Perhilitan telah memasang perangkap Wahab di lokasi pertama iaitu Kampung Baru Malaysia dengan meletakkan seekor kambing sumbangan penduduk sebagai umpan bagi menangkap Pak Belang itu.

Menurutnya, sehingga semalam Perhilitan Kelantan sudah menerima tiga aduan daripada penduduk mengenai kehadiran Pak Belang tersebut.

“Aduan kedua diterima telah kami terima pada 4 Ogos lalu. Kesan tapak kaki harimau itu dilihat pada jarak dua kilometer dari lokasi pertama ia mula dikesan oleh penduduk.

“Terbaru penduduk memaklumkan, seekor kambing dipercayai telah dibaham oleh harimau belang pada malam Isnin lalu. Lokasi tersebut terletak lebih kurang lima kilometer dari lokasi pertama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Hafid memberitahu, Perhitan Kelantan tidak menolak kemungkinan harimau itu berasal dari hutan simpan Sungai Kekal Sator, Jedok di Tanah Merah.

Katanya, pemantauan secara berterusan sudah dijalankan oleh Perhilitan Kelantan di kawasan perangkap dan sekitar lokasi kehadiran binatang buas itu.

“Kita turut memberi khidmat nasihat kepada penduduk untuk mengambil langkah keselamatan yang bersesuaian.

“Penduduk juga diminta segera menghubungi Jabatan Perhilitan sekiranya ternampak kelibat atau kesan tapak kaki atau kelibat harimau berkenaan,” ujarnya.

Mohd. Hafid juga turut mengingatkan supaya masyarakat setempat, tidak menyebarkan gambar melalui media sosial berhubung lokasi harimau ditemui.

Katanya, perkara ini harus dipandang serius kerana ia akan memudahkan pihak tidak bertanggungjawab terutama pemburu haram menjalankan tugasnya mengesan kedudukan harimau dan kemudian menjualnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya