PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan perbicaraan terhadap penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman atas tiga pertuduhan dadah, didengar selama 15 hari bermula Mac tahun depan.
Hakim Jamaludin Mat menetapkan tarikh-tarikh perbicaraan pada 6 hingga 10 Mac, 13 hingga 17 dan 20 hingga 24 Mac selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh-tarikh yang dicadangkan.
Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah memaklumkan telah menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan dan ketiga-tiga kes dibicarakan bersama.
“Seramai 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan,” kata Mohd. Asnawi.
Dalam prosiding itu, peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, mengesahkan telah menerima dokumen-dokumen berkaitan kes.
Justeru mahkamah kemudian menetapkan 4 Oktober ini untuk pengurusan kes seterusnya sebelum perbicaraan bermula.
Pada 6 Julai lalu, pelantun lagu Mimpi Laila itu bernasib baik apabila tidak berdepan dengan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis Kanabis seberat 214 gram.
Ia apabila pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pertuduhan mengedar ditarik balik dan Yasin dituduh dengan pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.
Mengikut pertuduhan baharu itu, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu, Yasin yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Penyanyi itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.
Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.
Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pada 25 Mac lalu, akhbar melaporkan polis menahan penyanyi nasyid kerana disyaki memiliki dadah dan menanam pokok ganja di sebuah kondominium di Kota Damansara, di sini. – UTUSAN