Penyokong hampa tak dapat tengok Najib buat kali terakhir - Utusan Malaysia

Penyokong hampa tak dapat tengok Najib buat kali terakhir

ANTARA penyokong Najib Tun Razak yang berada di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kebanyakan penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak pulang dengan perasaan hampa apabila mereka tidak dapat melihat kelibat bekas Perdana Menteri itu buat kali terakhir sebelum dibawa ke penjara.

Walaupun hujan renyai sepanjang petang, penyokong Najib langsung tidak berganjak dari pekarangan pintu belakang Istana Kehakiman di sini dan terus berhimpun sambil melaungkan seruan ‘Hidup Bossku’ dan ‘Allahuakhbar’.

Najib yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam itu dilihat keluar melalui laluan lain sambil diiringi kenderaan polis manakala ahli keluarganya termasuk Datin Seri Rosmah Mansor menggunakan laluan yang dipenuhi para penyokong.

Tidak kira jantina dan usia, rata-rata penyokong Najib dilihat menitiskan air mata dan berpelukan selepas mengetahui keputusan Mahkamah Persekutuan menerusi laporan-laporan berita di laman sosial.

Kebanyakan penyokong wanita yang setia menunggu Ahli Parlimen Pekan itu sejak awal pagi juga seakan-akan tidak percaya apabila mengetahui nasib Najib.

Difahamkan rata-rata penyokong Najib datang dari serata negeri termasuk dari kawasan Parlimennya iaitu Pekan, Pahang dengan menaiki enam buah bas.

Sekitar pukul 6 petang, kesemua penyokong terbabit mula dilihat meninggalkan kawasan mahkamah.

Terdahulu, panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan sabitan salah yang dikenakan terhadap Najib.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya