6 inisiatif untuk penjawat awam

Penjawat awam Gred 11 hingga 56 dapat tambahan kenaikan gaji RM100

ISMAIL Sabri Yaakob melambai tangan kepada penjawat awam yang menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (atau MAPPA) Ke-18 di Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari mengumumkan enam inisiatif baharu kepada penjawat awam sebagai memahami keluh kesah anggota perkhidmatan awam.

Inisiatif pertama ialah bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 untuk penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023.

Kata beliau, inisiatif berkenaan memanfaatkan seramai 1.28 juta penjawat awam dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.

“Sebagai contoh, sebelum ini kadar KGT bagi gred 11 adalah RM80, maka pada tahun 2023, beliau akan menerima kadar KGT asas sebanyak RM80.

“Tambahan khas sebanyak RM100 menjadikan jumlah KGT diterima pada tahun 2023 adalah sebanyak RM180,” katanya dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (atau MAPPA) yang ke-18, di sini hari ini

Ismail Sabri turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023 diteruskan dibayar kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700.

Ini termasuk bantuan dan RM350 bagi pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen yang akan diberi pada Januari 2023.

Inisiatif berikutnya ialah penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum.

Untuk itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju menambah baik Kadar Tetap 3 peratus semasa yang diterima oleh pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu dan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari 2022.

“Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan Pekeliling berkaitan bagi penjelasan terperinci bagi perkara ini,” katanya.

Perdana Menteri memberitahu, kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari dinaikkan ke 180 hari .

Kata beliau, kerajaan memahami dengan beban tugas yang semakin besar dan mencabar, ramai anggota perkhidmatan awam yang tidak dapat menghabiskan cuti rehat tahunan mereka.

Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai di masa persaraan sekali gus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak.

Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.

“Tambahan Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari ini akan memberi manfaat kepada lebih kurang 500,000 guru bagi urusan-urusan yang mustahak dan kecemasan yang
dibenarkan serta memberi peluang guru-guru mengumpul jumlah GCR yang lebih tinggi,” katanya.

Turut diumumkan inisiatif perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat.

ANTARA penjawat awam yang menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (atau MAPPA) Ke-18 di Putrajaya, hari ini.

Kata Perdana Menteri, jika sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mertua, bapa kandung dan bapa mertua serta anak sahaja, penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian yang melibatkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam.

Kerajaan juga bersetuju agar Jabatan Perkhidmatan Awam menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan merangkumi saraan dan perkhidmatan agar relevan dengan keadaan semasa serta kemampuan kewangan kerajaan.

“Saya menyeru penjawat awam yang bersama saya pada hari ini, sama ada di dalam dewan mahu pun di luar, atau dalam talian untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Keluarga Malaysia.

“Sekiranya produktiviti dapat ditingkatkan, ekonomi negara akan bertambah kukuh dan kerajaan akan lebih berupaya meningkatkan kemudahan kepada Keluarga Malaysia seluruhnya, dan yang pasti penjawat awam tidak akan dilupakan kerana saya yakin bahawa ‘Penjawat Awam adalah Tonggak Aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya