KUALA LUMPUR: Seorang peniaga dihukum penjara dua tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan menetak kepala majikannya menggunakan parang selepas ditampar mangsa, tiga minggu lalu.
Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman tersebut itu selepas tertuduh, Thomas Gabriel Gomez Eirikodi, 22, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tertuduh berkuat kuasa dari tarikh tangkapan tahun iaitu pada 24 Julai lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Thomas didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap A. Utaiya Sangkar, 33, dengan menggunakan sebilah parang untuk menetak lelaki itu di pusat pembuangan sampah di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini pada 11 malam, 23 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.
Ketika prosiding, peguam bela tertuduh, K. Komagen memohon mahkamah menetapkan hukuman minimum kerana ia adalah kesalahan pertama anak guamnya dan tertuduh juga telah insaf serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Katanya, tertuduh perlu menanggung ibu bapa yang berusia lingkungan 60-an dan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan telah menjimatkan kos dan masa mahkamah.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran dan mengambil kira kecederaan dialami mangsa.
Mengikut fakta kes, mangsa berjumpa tertuduh untuk berbincang mengenai tuntutan gaji di lokasi kejadian.
Ketika perbincangan berkenaan, tertuduh menetak kepala mangsa dengan parang beberapa kali sebelum melarikan diri.
Tertuduh berasa tidak puas hati kerana mangsa menamparnya dua minggu sebelum itu akibat bersikap biadap terhadap rakan sekerja dan atas sebab itu, mangsa telah diberhentikan kerja.
Polis menahan Thomas di pekarangan Balai Polis Salak Selatan, pada pukul 2.30 pagi, 24 Julai lalu, sebelum menemukan parang berukuran 45 sentimeter di tepi tiang batu pintu masuk Pasar Borong Kuala Lumpur.
Berdasarkan percakapan doktor, mangsa yang dihantar ke Hospital Selayang berada dalam keadaan separa sedar dan terdapat kesan tetakan di kepala, bahu kiri dan jari tangan kiri. – UTUSAN