KOTA BHARU: Lebih 200 peniaga yang menjalankan perniagaan berhampiran sebuah pasar raya di Lembah Sireh di sini, diberi pilihan untuk mencari rezeki di sebuah kawasan dekat Bandar Baru Tunjung.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin berkata, langkah itu berikutan kawasan berkenaan merupakan hak milik persendirian dan bukan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“PBT banyak menerima rungutan daripada pelbagai pihak mengenai gangguan parkir dan kebersihan apabila peniaga menjalankan perniagaan tanpa kebenaran.
“Keadaan di kawasan itu tidak teratur selain menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan,” katanya selepas mengulas mengenai larangan berniaga dan menjaja di Lembah Sireh bermula 26 Ogos lalu selepas merasmikan Program Local Agenda 21, Program Gotong-royong Zon Bersih Indah Ceria Pasar Siti Khadijah di sini hari ini.
Rosnazli memberitahu, susulan itu MPKB-BRI sedang melaksanakan pemutihan melibatkan peniaga di kawasan tersebut supaya tidak lagi beroperasi.
Katanya, bagaimanapun individu yang mahu berniaga di kawasan pasar malam di Lembah Siren perlu mengemukakan permohonan kepada pengendali.
“Pasar malam dilihat lebih teratur dan mempunyai penganjur yang mendapat kelulusan pihak berkuasa. Paling penting sebagai PBT perlu bersikap adil terhadap semua peniaga dan keadaan lebih tersusun.
“Kita juga akan memantau kawasan itu sekiranya masih ada peniaga yang berdegil dan akan diberikan notis,” ujarnya.
Sebelum ini, tular satu gambar gegantung yang dipasang MPKB-BRI mengenai notis larangan berniaga di kawasan Lembah Sireh bermula 26 Ogos lalu. –UTUSAN