PETALING JAYA: Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada tahun ini diunjurkan sedikit meningkat kepada 18.50 juta tan berbanding 18.12 juta tan pada tahun sebelumnya, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, jangkaan peningkatan pengeluaran MSM sebanyak 1.59 peratus itu didorong peningkatan keluasan kawasan matang, keadaan cuaca yang lebih baik serta peningkatan kemasukan pekerja asing, terutamanya daripada Indonesia untuk bekerja di sektor perladangan.
“Bagi harga MSM pula, purata harga komoditi tersebut dijangka meningkat kepada RM5,000 satu tan pada tahun 2022, peningkatan sebanyak 13.46 peratus berbanding RM4,407 satu tan pada tahun sebelumnya.
“Untuk 2023, pengeluaran MSM dijangka akan terus meningkat ke paras 19 juta tan. Bagaimanapun, harga purata MSM diunjurkan menurun kepada RM4,300 satu tan disebabkan jangkaan berlakunya peningkatan pengeluaran minyak sawit dunia dan minyak sayuran lain, di samping jangkaan berlaku penyusutan harga minyak kacang soya di pasaran dunia,” katanya.
Mengulas mengenai pengeluaran MSM pada Julai, beliau berkata, ia merekodkan sedikit peningkatan sebanyak 1.8 peratus kepada 1.57 juta tan berbanding 1.55 juta tan pada bulan sebelumnya.
Ujarnya, peningkatan pengeluaran MSM disumbang oleh peningkatan kuantiti buah tandan sawit (BTS) yang diproses kilang-kilang sawit di Malaysia pada Julai 2022, iaitu sebanyak 0.8 peratus kepada 7.92 juta tan berbanding 7.86 juta tan pada Jun 2022.
Namun, katanya, prestasi pengeluaran MSM negara bagi tempoh Januari hingga Julai 2022 menunjukkan sedikit penurunan, iaitu sebanyak 0.5 peratus kepada 9.84 juta tan, berbanding 9.89 juta tan pada tempoh sama tahun lalu.
“Penurunan pengeluaran MSM berlaku ekoran kemerosotan hasil BTS sebanyak 3.3 peratus kepada 8.18 tan sehektar bagi tempoh Januari hingga Julai lalu, berbanding 8.46 tan sehektar bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
“Antara faktor yang menyumbang kepada penurunan hasil BTS ini adalah disebabkan isu kekurangan tenaga buruh di sektor perladangan sawit yang masih belum pulih sepenuhnya.
“Harga purata MSM pada Julai 2022 telah mengalami kejatuhan sebanyak 33.5 peratus kepada RM4,063 satu tan berbanding RM6,106 satu tan pada Jun 2022,” katanya.
Jelas beliau, kejatuhan harga MSM dipengaruhi beberapa faktor seperti penurunan harga minyak kacang soya, penurunan harga minyak mentah Brent, eksport minyak sawit Malaysia yang rendah dan peningkatan pengeluaran MSM tempatan.
Selain itu, katanya, penarikan semula larangan eksport oleh kerajaan Indonesia bermula 23 Mei lalu dan pemansuhan levi eksport bermula 15 Julai hingga 31 Ogos 2022 telah menyebabkan lambakan minyak sawit di pasaran dunia.
Ahmad Parveez memberitahu, kejatuhan harga MSM itu telah menyebabkan harga BTS turut mengalami penurunan di pasaran.
Harga purata BTS telah merosot sebanyak 32.3 peratus kepada RM846 satu tan pada Julai lalu berbanding RM1,249 satu tan yang dicatatkan pada Jun 2022.
“Harga MSM kini diniagakan stabil di antara RM4,000 hingga RM4,200 satu tan dengan harga terkini dicatatkan pada RM4,210 satu tan, iaitu pada 22 Ogos lalu.
“Walaupun MSM mengalami kemerosotan harga mendadak, secara purata, harga masih jauh lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas dan tidak menjejaskan pendapatan pekebun kecil dan negara secara purata,” katanya. – UTUSAN