Pengasuh taska didenda RM7,000 tampar kanak-kanak 2 tahun - Utusan Malaysia

Pengasuh taska didenda RM7,000 tampar kanak-kanak 2 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gara-gara menampar seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sehingga cedera, seorang pengasuh taska didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Emelia Kaswati Mohamed Khalid menjatuhkan hukuman denda terhadap tertuduh Azlinawaty Julaihi, 41, selepas wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.

Sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut, dia boleh dipenjarakan lima bulan. Denda itu dijelaskannya.

Terdahulu, Emelia Kaswati berkata, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh supaya ia menjadi pengajaran kepada pengasuh lain agar tidak melakukan kesalahan sama.

“Kebelakangan ini banyak kes penderaan dilaporkan berlaku. Maka mahkamah harus menjatuhkan hukuman pengajaran kepada tertuduh dan juga pengasuh yang lain di luar sana agar tidak melakukan kesalahan sama,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, Azlinawaty sebagai pengasuh kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, didakwa menganiaya kanak-kanak tersebut sehingga mengakibatkan mangsa mengalami bengkak kedua belah bahagian mata dan lebam di bahagian kanan tulang pipi.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah taska di Sentul di sini pukul 12.30 tengah hari pada 15 Jun lalu.

Wanita itu didakwa mengikut seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Semasa rayuan, wanita itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia tidak berniat untuk mencederakan mangsa dan kesal dengan perbuatannya.

“Saya minta maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya,” katanya dalam nada sebak.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhammed Ayub memohon hukuman berbentuk pengajaran kerana mangsa hanya berusia dua tahun.

“Ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke taska kerana mencari rezeki di luar dan anak-anak ini adalah amanah kepada tertuduh untuk dijaga dengan baik,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu yang merupakan ibu mangsa mendapati kesan lebam pada kedua-dua mata, tulang pipi merah dan bengkak di atas bibir selepas mengambil mangsa dari taska tersebut.

Pengadu kemudian bertanya kepada tertuduh dan wanita itu memaklumkan mangsa terhantuk dengan anak asuhan lain ketika bermain.

Namum akhirnya tertuduh mengaku menampar mangsa dan hasil siasatan polis mendapati, tertuduh melakukannya beberapa kali kerana mangsa mengeluarkan semula makanan yang disuapnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya